Kenyataan MAG tunjuk 'sindrom penafian' - King Sing

Tiong King Sing
Tiong King Sing
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak berkuasa kawal selia penerbangan dan agensi berkaitan perlu mengkaji semula pengurusan dalaman, kawalan keselamatan serta langkah pencegahan risiko bagi menjamin keselamatan penumpang.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, perkara itu susulan penahanan seorang pembantu juruterbang Malaysia Airlines di Indonesia baru-baru ini atas dakwaan terbabit dalam pengedaran dadah.

"Kes berkenaan perlu dilihat sebagai amaran serius dan bukan sekadar isu membabitkan seorang individu kerana ia mendedahkan kelemahan dalam sistem penerbangan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Terdahulu, Malaysia Aviation Group (MAG) memaklumkan pembantu juruterbang berkenaan tidak mengendalikan penerbangan pada hari terbabit, sebaliknya berada di tempat duduk tambahan dalam kokpit sebagai pemerhati.

Bagaimanapun, King Sing berkata, kebimbangan orang ramai bukan sama ada individu itu menerbangkan pesawat pada hari berkenaan, tetapi keputusan ujian air kencing yang positif serta kelemahan pemantauan yang terbongkar menerusi kes itu.

“Penumpang mempersoalkan mengapa Malaysia Airlines lebih menekankan bahawa individu berkenaan tidak mengendalikan penerbangan, bukannya terlebih dahulu memohon maaf kepada orang ramai dan menangani isu tersebut.

“Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada terdapat usaha untuk memperkecil tahap keseriusan kes berkenaan,” katanya.

King Sing berkata, agensi dan syarikat tidak seharusnya menunggu sehingga berlaku kejadian yang tidak diingini sebelum tindakan diambil.

“Kalau tiada apa-apa berlaku, mereka menganggap sistem itu tidak mempunyai masalah. Apabila masalah berlaku, barulah siasatan dibuat, penjelasan diberikan dan tindakan diambil,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, persoalan utama adalah sama ada sistem sedia ada mampu mengenal pasti risiko sebelum sesuatu insiden berlaku.

Sehubungan itu, Tiong menggesa pemeriksaan sebelum bertugas yang lebih ketat bagi juruterbang dan kru kabin dibangunkan serta dikuatkuasakan secara bersama oleh syarikat penerbangan, pihak berkuasa kawal selia dan bahagian narkotik polis.

“Sekiranya perlu, kakitangan boleh diarahkan melapor diri satu jam setengah hingga dua jam sebelum bertugas untuk menjalani saringan. Mereka hanya boleh dibenarkan memulakan tugas selepas melepasi saringan yang ditetapkan.

“Golongan profesional yang berkaitan boleh menentukan jenis dan skop ujian yang sesuai. Apa yang penting ialah kita mempunyai kaedah pencegahan yang lebih proaktif dan berkesan bagi mengelakkan kes seperti ini daripada berlaku,” katanya.

Beliau berkata, keselamatan penerbangan membabitkan nyawa penumpang dan turut memberi kesan terhadap keyakinan pelancong antarabangsa terhadap sistem penerbangan Malaysia.

“Sama ada individu berkenaan menerbangkan pesawat pada hari itu atau tidak, syarikat penerbangan dan pihak berkuasa kawal selia tetap mempunyai tanggungjawab untuk memastikan tiada kelompangan dalam pengurusan keselamatan.

“Keselamatan tidak boleh hanya dianggap serius selepas sesuatu insiden berlaku. Ia mesti menjadi sebahagian daripada prosedur, pemantauan dan operasi harian.

“Semua pihak perlu bekerjasama untuk menutup segala kelompangan, memulihkan keyakinan terhadap sektor penerbangan dan melindungi imej Malaysia,” katanya.

Beliau turut menggesa sistem saringan dan keselamatan lapangan terbang dikaji semula, termasuk dari segi peralatan, prosedur serta penyelarasan antara agensi, supaya lebih berupaya menangani cabaran keselamatan semasa dan mencegah insiden sebelum berlaku.

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!