RM2 juta peruntukkan beli peralatan basmi kuman: Jagdeep

Jagdeep (tengah) melawat Pasar Awam Jelutong di sini hari ini.
Jagdeep (tengah) melawat Pasar Awam Jelutong di sini hari ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang memperuntukkan hampir RM2 juta kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk pembelian peralatan bagi kerja pembasmian kuman dan pembersihan di tempat awam iaitu pasar dan kompleks penjaja.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, sebanyak RM10 juta telah diperuntukkan untuk pembelian peralatan perlindungan diri (PPE) merangkumi pembasmian kuman dan peralatan pembersihan.

Menurutnya, Pulau Pinang mempunyai 56 buah pasar dan 79 kompleks penjaja yang mana setakat ini RM70,000 telah dibelanjakan untuk kerja pembersihan bagi 26 buah pasar di kawasan pulau.

"Kira-kira RM1.945 juta dari jumlah tersebut diperuntukkan untuk kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam pembelian peralatan pembersihan dan melakukan kerja pembersihan secara berkala di pasar dan kompleks penjaja.

"MBPP dan MBSP akan memastikan tempat yang sering disentuh orang ramai seperti pagar, tombol pintu dan kaunter dibersihkan setiap jam.

"Selain itu, kedua-dua PBT akan menggunakan mesin pembersih untuk membersihkan lantai pasar pada tengah hari iaitu akhir waktu perniagaan," katanya kepada media selepas melawat Pasar Awam Jelutong di sini hari ini.

Jagdeep (tengah) sedang melihat kakitangan MBPP yang melakukan kerja pembersihan pada lantai Pasar Awam Jelutong di sini hari ini.
Jagdeep (tengah) sedang melihat kakitangan MBPP yang melakukan kerja pembersihan pada lantai Pasar Awam Jelutong di sini hari ini.

Jagdeep berkata, kerajaan negeri turut membelanjakan kira-kira RM142,000 setiap bulan untuk kerja-kerja pembersihan di skim perumahan awam di Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

"Kita mempunyai 28 skim perumahan awam berketinggian tinggi dengan jumlah keseluruhan 12,487 unit. Seramai 120 pekerja dari Jabatan Perumahan Pulau Pinang telah dipertanggungjawabkan untuk melakukan kerja pembersihan kemudahan awam secara berkala di kesemua skim perumahan awam ini.

"Pulau Pinang mempunyai sejumlah 1,855 skim perumahan berstrata yang terdiri daripada jumlah keseluruhan 301,188 unit. Ini bermakna, kira-kira 1.2 juta penduduk tinggal di perumahan berketinggian tinggi iaitu lebih daripada separuh penduduk Pulau Pinang. Oleh itu, kita tidak boleh berkompromi dengan kebersihan di tempat-tempat ini," katanya.

Jagdeep berkata, semua badan pengurusan bersama (JMB) dan syarikat pengurusan bangunan jenis kediaman tersebut diarahkan menjalankan kerja pembersihan kemudahan awam seperti di lif dan kawasan lobi secara berkala.

"Saya telah meminta kedua-dua PBT memantau semua skim perumahan berstrata ini untuk memastikan mereka mematuhi arahan dalam menjaga kebersihan.

"Kerajaan negeri, MBPP dan MBSP amat komited dalam menjaga kebersihan kemudahan awam dan ruang untuk menghentikan penyebaran wabak Covid-19 ini," katanya.