Wawasan Perak sedia terima bekas pemimpin, ahli Bersatu

Zainol Fadzi
Zainol Fadzi
A
A
A

IPOH - Parti Wawasan Negara (Wawasan) Negeri Perak membuka pintu kepada bekas pemimpin dan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai parti itu.

Penyelaras Wawasan Negeri Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, pelawaan tersebut sebagai sebahagian usaha parti itu untuk menambah keahlian yang akan digerakkan penyelaras di peringkat bahagian.

Menurutnya, seramai 24 Penyelaras Bahagian di Perak akan dilantik dalam masa terdekat oleh Majlis Tertinggi Wawasan Pusat.

"Antara peranan utama Penyelaras Bahagian ini adalah untuk mendaftar seramai mungkin ahli baharu sama ada secara dalam talian atau secara manual dengan mengisi borang secara fizikal.

"Sehubungan itu, Wawasan Negeri Perak ingin mengajak seramai mungkin rakyat di negeri ini menyertai kami untuk mencipta sejarah bersama. Kita juga turut membuka pintu kepada bekas-bekas pemimpin dan ahli Bersatu untuk bersama-sama menyertai," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sementara itu, Zainol Fadzi berkata, Mesyuarat Khas Perwakilan Wawasan yang berlangsung pada 7 Ogos lalu turut meluluskan usul berkaitan pindaan perlembagaan parti, khususnya membabitkan struktur di peringkat Pusat, negeri dan bahagian.

Katanya, sementara menunggu kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung pindaan perlembagaan berkenaan, semua Penyelaras Bahagian yang bakal dilantik akan memulakan urusan kemasukan ahli baharu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!