Kejayaan PRN Negeri Sembilan bukti Wawasan berjaya 'makan pasaran' PH

KUALA LUMPUR - Parti Wawasan Negara (Wawasan) mendakwa kejayaan memenangi tiga daripada empat kerusi ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan membuktikan parti itu berjaya menembusi kelompok pengundi Pakatan Harapan (PH).
Ketua Penerangan Wawasan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pendekatan parti itu bukanlah tertumpu kepada perpecahan undi Melayu semata-mata, sebaliknya menyasarkan kelompok pengundi yang ternyata kecewa dengan prestasi PH.
"Wawasan mahu 'makan pasaran' Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP. Kami bergerak ke arah kelompok tengah untuk memperkukuhkan PN.
"Kami menyasarkan undi daripada penyokong PH yang tidak lagi yakin dengan gabungan tersebut," katanya ketika mengulas keputusan PRN Negeri Sembilan dalam temu audio siar sebuah stesen radio swasta pada Isnin.
Sebelum ini, gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) meraih kemenangan besar dengan majoriti dua pertiga pada PRN Negeri Sembilan dengan penampilan sulung Wawasan.
Pada PRN Negeri Sembilan itu, Wawasan mencatat pretasi cemerlang dengan memenangi tiga daripada empat kerusi ditandingi, sekali gus menjadi antara faktor kejayaan gabungan BN-PN.
Menurut Ahli Parlimen Machang itu, keberkesanan model kerjasama BN-PN menerusi penyertaan Wawasan dalam PRN Negeri Sembilan menjadi formula yang berpotensi untuk direplikasi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ataupun PRN akan datang.
Mengulas prestasi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dilihat 'terkubur' dalam PRN Negeri Sembilan, beliau menekankan bahawa penampilan Wawasan di gelanggang politik negara ternyata amat signifikan.
"Kami bersedia berdepan dengan cabaran ini. Walaupun parti ini baharu, pengalaman dan 'otai-otai' veteran yang menyertai Wawasan memberikan kelebihan taktikal kepada kami," ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

