Parti politik kerajaan wajar sedia manifesto: Wan Saiful

Wan Saiful Wan Jan
Wan Saiful Wan Jan
A
A
A

SHAH ALAM - Parti politik yang membentuk kerajaan hari ini disaran menyediakan manifesto jelas berhubung hala tuju pentadbiran negara sementara pakar dan pentadbir meneruskan usaha memerangi wabak koronavirus (Covid-19).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan berkata, rakyat kini mula bertanya mengenai hala tuju pentadbiran negara dan pertanyaan itu perlu dihormati kerana kerajaan sekarang dibentuk selepas pilihan raya tanpa manifesto yang jelas.

"Memang wajar rakyat menuntut kebertanggungjawaban dari kerajaan. Dalam masa sama, pakar dan pentadbir bertungkus-lumus menangani Covid-19.

"Saya mencadangkan agar parti yang membentuk kerajaan jangan melupakan keperluan untuk membuat satu dokumen bertulis hala tuju pentadbiran negara.

"Menjadi kebiasaan di seluruh dunia bahawa mana-mana gabungan yang mentadbir sesebuah negara memerlukan satu perjanjian gabungan (coalition agreement) yang menjadi panduan umum sesebuah pentadbiran," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas beliau, tindakan menyediakan manifesto itu juga wajar kerana kerajaan juga memerlukan sebuah perjanjian agar semua jentera kerajaan yang dipimpin oleh menteri dari parti yang berbeza-beza boleh bergerak secara bersepadu ke arah yang sama.

"Saya juga mencadangkan agar ketelusan, tadbir urus yang cekap dan pembentukan masyarakat yang mempunyai keyakinan dan jati diri dijadikan prinsip-prinsip utama dalam hala tuju tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan: