Rakyat minta KWSP bersasar, 'order lain, dapat lain' - Wan Saiful

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tidak lari daripada masalah.

Ia susulan kenyataan terbaharu Perdana Menteri tentang pendiriannya untuk tidak membenarkan satu lagi pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pencarumnya.

"Saya hanya menyampaikan salam rakyat kepada Anwar Ibrahim. Mereka pun tahu perjuangan menuntut KWSP bersasar ini bukan langkah popular. Ini isu rakyat, jauh sekali saya dan rakan-rakan lain nak jadi popular.

"Anwar kata, walaupun terdapat banyak tekanan politik untuk meluluskan pengeluaran. Pelik, dari mana tekanan politik yang Anwar dapat? Rakyat minta pengeluaran KWSP bersasar, tapi dapat FSA2 i-Cagar. Order lain, dapat lain.

"Rakyat hilang kerja, kereta motor kena tarik, sewa rumah tak dapat nak bayar, ini bukan tekanan politik. Ini juga bukan modal PRN (Pilihan Raya Negeri) enam negeri. Ini realiti pencarum-pencarum hadapi kini," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Wan Saiful menambah, persoalan yang diajukan kepada Anwar mengenai nasib pencarum yang disenaraihitam, diluluskan permohonan oleh MBSB tetapi dana disekat juga masih tidak dijawab.

Sedangkan katanya, permohonan diluluskan namun duit tidak dapat dan ansuran bulanan perlu dibayar.

"Ini menimbulkan keresahan mereka yang menuntut Menteri Kewangan beri penyelesaian.

"Anwar janganlah lari daripada masalah ini. Rakyat dah kirim salam tu," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:PM ulang pendirian tidak benarkan pengeluaran KWSP

ARTIKEL BERKAITAN:Syor KWSP majikan naik 20 peratus belum dibincang - PM

ARTIKEL BERKAITAN:PM gesa KWSP tingkat pelaburan kepada 70 peratus

ARTIKEL BERKAITAN:KJ dakwa pengumuman KWSP oleh PM tidak cermat