Senario peruntukan tiga MP PKR disekat tidak sama dengan tindakan MP BN - Bryan Ng

SHAH ALAM - Senario tiga Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang didakwa berdepan sekatan akses kepada sistem MyKhas dan pengurusan peruntukan kawasan tidak boleh disamakan dengan tindakan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang berbeza pendirian di peringkat negeri.
Timbalan Setiausaha Agung PKR, Bryan Ng Yin Miih berkata, perbezaan ketara ialah Ahli Parlimen BN tidak menentang Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, sebaliknya persaingan mereka dengan Pakatan Harapan (PH) berlaku dalam konteks politik negeri.
Menurutnya, tiga Ahli Parlimen PKR terbabit pula masih berada dalam parti, namun pada masa sama mengambil pendirian yang dilihat bertentangan dengan perjuangan parti serta bertindak seolah-olah sebagai pembangkang terhadap kerajaan sendiri.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan isu penyaluran peruntukan kepada kawasan mereka tidak wajar dilihat semata-mata sebagai tindakan menyekat hak wakil rakyat, sebaliknya perlu dilihat dalam konteks pendirian politik yang diambil oleh mereka.
"Mereka mengatakan hanya mahu menjadi 'opposition within the government', tetapi saya tidak fikir pendirian itu munasabah.
"Mereka sudah meninggalkan perjuangan parti dan apa yang dilakukan lebih menjurus kepada kepentingan politik mereka sendiri. Mereka kini bertindak seperti pembangkang.
"Jadi, bagaimana mungkin kerajaan mahu terus menyalurkan peruntukan kepada mereka sedangkan mereka menyerang kerajaan sendiri? Saya tidak fikir mana-mana kerajaan atau Perdana Menteri akan berbuat demikian," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Bryan berkata demikian ketika mengulas isu tiga Ahli Parlimen PKR yang didakwa akses pejabat mereka kepada sistem MyKhas bagi mengurus permohonan Projek Mesra Rakyat (PMR) dan peruntukan khas kawasan telah disekat.
Tiga Ahli Parlimen berkenaan ialah Wong Chen (Subang), Rodziah Ismail (Ampang) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).
Bagaimanapun, kerajaan menjelaskan peruntukan bagi kawasan terbabit tidak dihentikan, sebaliknya pelaksanaannya diteruskan menerusi ICU Jabatan Perdana Menteri dan agensi berkaitan tanpa disalurkan melalui pejabat Ahli Parlimen berkenaan.
Dalam pada itu, Bryan menegaskan, perbandingan dengan Ahli Parlimen BN juga tidak tepat kerana wakil rakyat parti itu masih berada dalam kerangka Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
"Kalau saya sendiri hadir ke program Pas atau Bersatu, sudah tentu saya juga akan dikenakan tindakan disiplin.
"Tambahan pula kenyataan yang mereka keluarkan, termasuk penggunaan istilah seperti 'PM Sakau', jelas dibuat dengan niat memburukkan kerajaan pusat dan parti," katanya.
Sementara itu, PKR mengesahkan setakat ini tidak menerima sebarang surat peletakan jawatan daripada mana-mana Ahli Parlimen parti itu, sekali gus menepis spekulasi bahawa seorang wakil rakyat PKR bakal mengosongkan kedudukan.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat mengesahkan perkara itu dengan berkata: "Setakat ini tiada."
Mengulas perkembangan tersebut, Penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali berpandangan tindakan terhadap Rodziah tidak wajar kerana Ahli Parlimen Ampang itu masih kekal dalam PKR dan tidak mengisytiharkan keluar parti.
Menurutnya, perbezaan pandangan dengan kepimpinan parti tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengetepikan seseorang wakil rakyat daripada menguruskan peruntukan kawasan selagi beliau masih ahli parti.
Beliau berkata, tindakan melantik penyelaras kawasan seolah-olah mengetepikan wakil rakyat berkenaan dan boleh memberikan gambaran bercanggah dengan imej PKR sebagai sebuah parti reformasi yang sepatutnya terbuka terhadap perbezaan pandangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

