Razali nafi dakwaan sertai Pejuang, akui masih ahli Bersatu

KUALA TERENGGANU - Bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Datuk Razali Idris menyangkal dakwaan bahawa beliau menyertai parti Parti Pejuang Tanahair (Pejuang).
Menurutnya, walaupun telah mengumumkan meletak jawatan sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu berkuat kuasa Khamis lalu, namun beliau masih lagi ahli parti itu.
"Saya menafikan dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Pejuang negeri seperti ditularkan melalui laman sosial Facebook (FB) milik individu dikenali Khairol Azfar Mansor.
"Saya mengakui sudah menghantar surat peletakan jawatan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 Julai lalu dan mengumumkan secara rasmi kepada jawatankuasa parti diperingkat negeri pada Khamis lalu," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
Razali yang juga Exco kerajaan negeri berkata, dakwaan seperti ditularkan melalui laman sosial Facebook sejak Jumaat itu adalah berniat jahat dan fitnah.
"Saya memberi tempoh selama satu minggu berkuat kuasa hari ini kepada Khairol Azfar untuk memadamkan semula gambar dan ucapan tahniah seperti dimuatnaik melalui FB miliknya.
"Saya akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Khairol Azfar jika gagal memadamkan semula gambar dan ucapan tahniah atas pelantikan sebagai Ketua Badan Pimpinan Pejuang seperti dimuatnaik melalui FB miliknya," katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai dua lagi pimpinan tertinggi Bersatu Terengganu iaitu ADUN Telemong, Mohd Zawawi Ismail dan ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin yang turut meletakkan jawatan sebagai Ketua Penerangan dan Bendahari parti, Razali berkata, dia hanya menerima laporan itu daripada media.
"Kita dimaklumkan Mohd Zawawi dan Mohd Husaimi belum lagi menghantar surat perletakan jawatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

