MPP PKR tolak peletakan jawatan Nurul Izzah

KUALA LUMPUR - Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebulat suara memutuskan untuk tidak menerima peletakan jawatan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden parti.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Nurul Izzah kekal sebagai anggota PKR dan akan terus membantu dalam perjuangan parti itu.
Bagaimanapun, katanya, PKR bersetuju memberi Nurul Izzah ruang dan masa untuk menguruskan hal peribadi serta melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD).

"Dalam mesyuarat tempoh hari, MPP memutuskan tidak menerima peletakan jawatan Nurul Izzah kerana beliau meminta masa seperti kenyataan yang diberikan itu antara lain (untuk) mengurus diri dan juga menyiapkan serta meneruskan pendidikan PhD.
"Jadi kita beri beliau masa. Tugas serta tanggungjawab dan fungsi-fungsi Timbalan Presiden akan digalas oleh Naib Presiden, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail,” katanya pada Sabtu.
Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh pada Khamis lalu memohon mengundurkan diri daripada jawatan Timbalan Presiden PKR selepas pertimbangan yang panjang bagi membolehkannya mengorak langkah baharu meneruskan pengajian lanjutan berteraskan khidmat dan bakti tanpa semestinya terikat dengan dunia politik.
Namun, beliau menegaskan, keputusan berkenaan tidak mengubah pendiriannya untuk terus kekal sebagai anggota PKR dan memberikan dokongan kepada perjuangan parti ke arah Malaysia yang lebih baik di bawah pimpinan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama barisan kepemimpinan serta akar umbi.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Saifuddin diberi kepercayaan untuk menggalas tugas tersebut bagi memastikan pentadbiran serta operasi parti berjalan lancar dan tidak terganggu.
Ujarnya lagi, MPP PKR pula hanya bersetuju untuk memberi cuti sementara kepada Nurul Izzah bermula selepas Kongres Nasional 2026 sehingga satu tarikh yang akan diumumkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

