Penyokong Indonesia hentam jurulatih Garuda

Ilhan Fendi menjaringkan gol penyamaan Singapura yang meyebabkan Indonesia tersingkir daripada kempen Piala ASEAN 2026. FOTO: Agensi
Ilhan Fendi menjaringkan gol penyamaan Singapura yang meyebabkan Indonesia tersingkir daripada kempen Piala ASEAN 2026. FOTO: Agensi
A
A
A

KEGAGALAN Indonesia mara ke separuh akhir Piala ASEAN 2026 bukan sahaja mengundang kekecewaan, malah menjadikan jurulatih John Herdman sasaran kritikan penyokong.

Lebih pedas, seorang penyokong menyindir pengendali kelahiran Kanada itu supaya duduk di atas bumbung stadium jika mahu mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai permainan anak buahnya.

Sindiran itu merujuk kepada kebiasaan Herdman berada di tempat duduk penonton pada awal perlawanan bagi memerhatikan aksi pasukannya dari sudut tertentu.

Indonesia mengakhiri kempen Kumpulan A dengan keputusan seri 1-1 menentang Singapura di Stadium Jalan Besar, sekali gus gagal mengesahkan tiket ke separuh akhir untuk kali kedua berturut-turut.

Kegagalan itu lebih mengecewakan kerana Indonesia dilihat mempunyai peluang untuk mara, namun gagal memanfaatkan kelebihan selepas Singapura terlebih dahulu membuka jaringan.

Seorang penyokong berkata, jika Indonesia tidak mampu menewaskan Singapura dalam perlawanan yang wajib dimenangi, mereka hanya boleh menyalahkan diri sendiri kerana peluang sudah berada dalam tangan.

Selain Herdman, beberapa penyokong turut mempersoalkan kemampuan pasukan untuk menyudahkan peluang selepas Indonesia menguasai permainan dan mencipta tekanan, namun gagal diterjemahkan kepada jaringan.

Dasar naturalisasi pemain turut menjadi bahan perdebatan apabila ada penyokong berpendapat kejayaan lebih bermakna sekiranya skuad kebangsaan dibarisi pemain tempatan.

Seorang lagi penyokong pula menyindir Herdman dengan berkata, gaya permainan Indonesia kini kembali seperti era lama dan menyamakan tahap pasukan itu dengan Timor-Leste, Laos, Kemboja malah Brunei.

Artikel Berkaitan:

Kritikan terhadap Herdman turut dikaitkan dengan pengalaman beliau di Kanada apabila seorang penyokong mendakwa beliau lebih sesuai dianggap sebagai pembakar semangat berbanding jurulatih.

Kegagalan Indonesia turut menghidupkan kembali perbincangan mengenai kekalahan 0-3 kepada Vietnam dalam aksi terdahulu apabila Garuda dilihat gagal memperbaiki kelemahan menjelang perlawanan penentuan.

Pada masa sama, Singapura mengambil kesempatan untuk mengesahkan tempat kedua Kumpulan A dan mengiringi Vietnam ke separuh akhir.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!