'Bersatu Terengganu dijangka terkubur, keputusan Razali letak jawatan tepat' - Rosol

A
A
A

​KUALA TERENGGANU – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu dilihat berada di ambang kehancuran susulan peletakan jawatan Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Datuk Razali Idris, yang berkuat kuasa serta-merta selepas menerajui parti itu selama kira-kira 10 tahun.

​Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, keputusan Razali melepaskan jawatan adalah wajar memandangkan parti berkenaan dilihat semakin lemah, khususnya selepas prestasi mengecewakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini.

​Menurutnya, tindakan Razali disifatkan sebagai keputusan yang bijak sebelum keadaan parti menjadi lebih parah.

​"Saya berpandangan Bersatu Terengganu akan terkubur tidak lama lagi.

"Setakat ini saya tidak nampak ada pelapis yang benar-benar mampu meneruskan agenda perjuangan parti di negeri ini.

​"Pada masa ini, Bersatu sudah tiada apa-apa kepentingan. Orang akan mempersoalkan mengapa mereka masih perlu berada dalam Bersatu. Kalau dahulu orang menyertai Bersatu kerana parti itu menerajui kerajaan Persekutuan dan mempunyai Perdana Menteri, tetapi sekarang keadaan sudah jauh berbeza," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Bersatu Terengganu berdepan krisis kepimpinan apabila tiga pemimpin utamanya mengumumkan peletakan jawatan secara mengejut sehingga menjejaskan struktur kepimpinan parti di negeri itu.

Difahamkan, situasi tersebut bermula selepas Razali mengumumkan melepaskan jawatan yang disandangnya sejak 10 tahun lalu berkuat kuasa serta-merta.

Razali yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai punca tindakannya itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang merupakan antara pengasas Bersatu pada 2016 mengesahkan telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Julai lalu.

Selain Razali, dua lagi pemimpin kanan parti turut mengumumkan peletakan jawatan masing-masing ialah ADUN Telemong, Mohd Zawawi Ismail yang turut melepaskan jawatan Ketua Penerangan Bersatu Negeri manakala ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin melepaskan jawatan Bendahari Bersatu Negeri.

Turut memberikan bayangan untuk mengambil keputusan sama, ADUN Seberang Takir, Khazan Che Mat sebagai Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri.

​Rosol, yang kini digantung keahlian Bersatu selama dua penggal, turut menyifatkan masa depan parti itu berada di hujung tanduk apabila sehingga kini tiada satu pun mesyuarat cawangan di Terengganu diadakan.

​Katanya, berdasarkan jadual parti, mesyuarat cawangan sepatutnya berlangsung bermula 1 Julai hingga penghujung Ogos, namun perkara itu masih belum dilaksanakan.

​"Kegagalan mengadakan mesyuarat di peringkat akar umbi menggambarkan kelemahan organisasi parti dan menimbulkan persoalan mengenai hala tuju Bersatu di Terengganu lebih-lebih lagi selepas peletakan jawatan oleh beliau," ujarnya.

-ENDS-

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!