SHMMP: Imbangi kepentingan pengguna dan kelangsungan peniaga

MENJELANG sambutan Deepavali pada 8 November ini, isu kenaikan harga barangan keperluan kembali menjadi perhatian ramai.
Setiap kali musim perayaan, peningkatan permintaan terhadap bahan mentah dan keperluan memasak sering menimbulkan kebimbangan pengguna mengenai kemungkinan kenaikan harga yang mendadak.
Dalam keadaan itulah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026 memainkan peranan penting sebagai mekanisme mengimbangi kepentingan pengguna dan peniaga.
Melalui skim dilaksanakan dari 4 hingga 10 November, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menetapkan harga maksimum bagi 11 jenis barangan keperluan. Tahun ini menyaksikan penambahan dua item baharu iaitu santan dan ubi kentang (China), berbanding sembilan barangan tahun lalu.
Apa yang menarik, majoriti harga maksimum ditetapkan bagi SHMMP Deepavali 2026 kekal stabil malah sebahagiannya lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.
Ia membuktikan SHMMP bukan sekadar instrumen kawalan harga, tetapi turut berfungsi menstabilkan pasaran ketika permintaan meningkat.

Hakikatnya, penentuan harga maksimum bukan dilakukan secara arbitrari. KPDN mengambil kira pelbagai faktor termasuk kos semasa, kadar upah, cuaca, bekalan dan permintaan pasaran.
Pada masa sama, pandangan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi kerajaan serta pemain industri turut dijadikan rujukan sebelum harga dimuktamadkan.
Namun, keberkesanan skim ini tidak akan tercapai tanpa penguatkuasaan berkesan. Justeru, pegawai penguat kuasa KPDN akan ditempatkan di pasar awam, pasar tani dan lokasi tumpuan pengguna bagi memantau pematuhan peniaga sepanjang tempoh pelaksanaan skim.
Peranan pengguna menjadi semakin penting dalam era digital apabila aduan boleh disalurkan dengan mudah melalui WhatsApp KPDN, talian aduan, e-mel atau aplikasi Ez ADU KPDN.
Akhirnya, kejayaan SHMMP Deepavali 2026 bergantung kepada kerjasama semua pihak. Itulah semangat sebenar dasar yang meletakkan kepentingan rakyat dan kelangsungan perniagaan pada neraca sama.
*Badruldin Zakaria ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

