Suspek culik, rogol remaja tuntut layanan VIP dalam lokap

Suspek didakwa enggan memberi kerjasama semasa siasatan dijalankan. Foto: Times Of India
Suspek didakwa enggan memberi kerjasama semasa siasatan dijalankan. Foto: Times Of India
A
A
A

NEW DELHI - Seorang pelajar lelaki berusia 20 tahun yang ditahan atas dakwaan menculik dan merogol seorang remaja perempuan berusia 16 tahun didakwa menuntut layanan istimewa sepanjang berada dalam lokap polis, termasuk meminta piza, tilam empuk dan makanan premium.

Suspek yang merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (BBA) itu juga didakwa enggan memberi kerjasama semasa siasatan dijalankan dengan menolak untuk disoal siasat serta tidak mahu berkongsi kata laluan telefon bimbitnya.

Sumber polis dari balai Hudkeshwar berkata, tindakan suspek menyukarkan usaha mengumpul bukti digital berkaitan kes.

Suspek juga pada awalnya menolak menjalani pemeriksaan dan rawatan perubatan sebelum dibawa secara paksa untuk pemeriksaan pada Selasa.

Seorang pegawai kanan polis berkata, suspek berulang kali membuat pelbagai tuntutan sepanjang berada dalam lokap.

"Dia mengadu dinding lokap kotor, tandas berbau, sukar tidur akibat gigitan nyamuk, selain meminta tilam atau kusyen yang lebih tebal serta alat penghalau serangga dipasang segera," katanya.

Menurut sumber polis, suspek turut bertengkar dengan pegawai penyiasat hampir sepanjang masa dan menyalahkan mangsa atas perlakuan seksual yang didakwa dilakukannya.

Pada Selasa, suspek turut membuat beberapa dakwaan terhadap polis di hadapan mahkamah khas, termasuk mendakwa wang tunai sebanyak 70,000 rupee (RM3,000) dicuri dari rumah sewanya, dipukul anggota polis serta cermin mata dan kasutnya tidak dipulangkan.

Bagaimanapun, polis menafikan dakwaan itu dan percaya suspek cuba mencederakan dirinya sendiri bagi mengukuhkan dakwaan kononnya dia menjadi mangsa layanan buruk pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Balai Hudkeshwar, Inspektor Kanan Anamika Mirzapure berkata, pihaknya telah memenuhi keperluan asas suspek sepanjang berada dalam tahanan.

"Jika seseorang suspek menuntut kemewahan, katil lebih selesa atau makanan yang lebih baik serta terus mempertikaikan setiap perkara, kami tidak dapat memenuhi permintaan itu.

"Suspek sengaja melengah-lengahkan proses siasatan dan enggan memberi kerjasama. Kami sentiasa memberi kaunseling kepadanya," katanya.

Beliau berkata, polis kini memantau suspek sepanjang masa bagi mengelakkan sebarang cubaan mencederakan diri sendiri sambil meneruskan siasatan. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!