Masalah internet selesai

Anand Vijayan
Anand Vijayan
A
A
A

JAMINAN unifi untuk mengambil langkah sewajarnya bagi menyelesaikan masalah internet yang perlahan pada waktu puncak telah menunjukkan hasil positif.

Ketua Pegawai Komersil, Telekom Malaysia Berhad (TM), Anand Vijayan berkata, pihaknya telah melaksanakan aktiviti pengoptimuman rangkaian dan penambahan kapasiti untuk meredakan kesesakan rangkaian domestik yang memberi kesan kepada pelanggannya di wilayah Tengah dan Selatan Malaysia Barat serta di Malaysia Timur.

“Hasil pelaksanaannya telah menunjukkan trend penurunan kesesakan rangkaian, bermakna kelajuan internet yang lebih baik kepada pelanggan.

“Kami akan terus memantau prestasi rangkaian bagi memastikan pelanggan sentiasa menikmati pengalaman perkhidmatan yang dipertingkatkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, pihaknya juga telah berkomunikasi dengan penyedia platform penstriman, permainan, dan produktiviti antarabangsa yang popular untuk menyelaraskan perkhidmatan mereka dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Terdahulu, TM berjaya memulihkan kapasiti rangkaian antarabangsanya yang terjejas akibat kerosakan kabel Asia Pacific Cable Network 2 (APCN2) dengan mengalihkan haluan dan mengoptimumkan trafik sepenuhnya menerusi laluan sambungan antarabangsa alternatif.

TM sedang bekerjasama rapat dengan rakan-rakan antarabangsa untuk menyelaras dan mengalihkan haluan trafik secara proaktif bagi meminimumkan impak terhadap pelanggan.

Hasilnya, sambungan data kepada lokasi-lokasi dan pelayan-pelayan yang dihoskan di Hong Kong dan Amerika Syarikat kini telah dioptimumkan sepenuhnya untuk dinikmati semua.

Artikel Berkaitan:

Anand berkata, pelanggan unifi kini boleh menikmati kelajuan, akses tanpa gangguan kepada laman sosial dan platform produktiviti pilihan mereka selepas sambungan rangkaian antarabangsa dipulihkan sepenuhnya.

“Kami komited untuk membantu anda kekal berhubung dengan orang tersayang dan memastikan anda terus terhibur, sekali gus membolehkan anda kekal produktif semasa tempoh PKP ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pelanggan pascabayar unifi Mobile akan terus menikmati pas hotspot LTE 999GB percuma sebagai tambahan kepada pas hotspot LTE 10GB sedia ada manakala pelanggan pra-bayar unifi Mobile #BEBAS akan terus menerima pas data tujuh hari tanpa had percuma.

“Pelanggan unifi TV boleh kekal terhibur dengan akses percuma kepada kesemua saluran termasuklah saluran premium dan unifi PlayTV dan diskaun 20 peratus untuk kesemua filem Video-On-Demand (VOD) di dalam kategori HyppFlicks Plus.

“Untuk pelanggan perniagaan pula, mereka akan terus menikmati pas hotspot LTE unifi Mobile Biz, akses percuma kepada platform Penyelesaian Pemasaran Digital (DMS) dan diskaun 20 peratus untuk perkakasan produktiviti selain bantuan kewangan dari rakan perbankan unifi,” katanya.