Juruterbang tidak bertugas dua hari sebelum penahanan seludup dadah di Indonesia - MAG

SHAH ALAM - Malaysia Aviation Group (MAG) mengesahkan juruterbang warga Malaysia ditahan di Indonesia kerana disyaki cuba menyeludup sejumlah besar dadah pada 29 Julai lalu, bukan juruterbang yang mengendalikan penerbangan Malaysia Airlines MH727 dari Kuala Lumpur ke Jakarta.
Menurut MAG, individu terbabit merupakan seorang Pegawai Kedua yang berada di tempat duduk lompat kokpit (cockpit jump seat) sebagai pemerhati.
"Individu berkenaan juga telah tidak bertugas selama dua hari sebelum kejadian itu berlaku.
"Pesawat tersebut dikendalikan dengan selamat pada setiap masa oleh dua juruterbang yang berkelayakan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Pada 29 Julai, individu berkenaan ditahan kerana disyaki cuba menyeludup dadah termasuk lebih 70,000 pil ekstasi seberat 25 kilogram.
Lelaki berusia 39 tahun itu dilaporkan menaiki penerbangan berkenaan sebelum ditahan di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.
Sehubungan itu, MAG menyifatkan tindakan individu berkenaan sebagai sesuatu yang sama sekali tidak boleh diterima dan bertentangan dengan piawaian profesional yang dijangka daripada kakitangannya.
Justeru, sebagai langkah memperkukuh aspek keselamatan penerbangan susulan insiden berkenaan, kesemua 1,260 juruterbang Malaysia Airlines diwajibkan menjalani pemeriksaan saringan dadah.
Juruterbang yang gagal melengkapkan pemeriksaan dalam tempoh ditetapkan tidak akan dibenarkan mengendalikan penerbangan sehingga mereka mendapat pengesahan kelayakan mengikut prosedur MAG serta keperluan kawal selia.
Selain saringan mandatori berkenaan, MAG turut akan melaksanakan pemeriksaan lebih ketat terhadap semua juruterbang aktif, melengkapi program ujian rawak yang telah dilaksanakan sebelum ini.
MAG berkata, langkah yang diperkukuhkan dibina berdasarkan kerangka kecergasan bertugas sedia ada yang merangkumi saringan sebelum pekerjaan, pensijilan perubatan Kelas 1 untuk juruterbang, latihan berulang, ujian alkohol dan dadah secara berkala serta pemeriksaan pematuhan sebelum penerbangan.
"Pemeriksaan itu melibatkan lesen, pensijilan perubatan, latihan dan keperluan pengalaman terkini (recency requirements).
"Sebelum setiap penerbangan, kumpulan juruterbang yang bertugas turut melengkapkan penilaian IMSAFER bagi menilai tahap kesediaan fizikal dan mental antara satu sama lain untuk menjalankan tugas,” katanya.
IMSAFER merupakan senarai semak penilaian kendiri juruterbang sebelum penerbangan bagi menilai kecergasan bertugas yang merangkumi aspek penyakit, ubat, tekanan, alkohol, keletihan, emosi dan pengalaman terkini.
MAG memaklumkan kumpulan itu akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa penerbangan, agensi penguatkuasaan serta badan kawal selia bagi melaksanakan cadangan penambahbaikan, memperkukuh langkah pencegahan dan memastikan pematuhan terhadap keperluan peraturan dalam operasi penerbangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
