Sangka percuma punca pengunjung angkut pokok hiasan MBJB

MELAKA - Kekeliruan maklumat dipercayai menjadi punca sebahagian pengunjung Sambutan Hari Landskap Negara 2026 bertindak mengambil pokok hiasan yang disangka diberikan secara percuma di Perkarangan Stadium Hang Jebat di sini pada Khamis.
Insiden yang berlaku sekitar waktu pagi hingga tengah hari itu tular selepas seorang pengguna di Threads meluahkan kekesalan terhadap tindakan segelintir pengunjung yang mengambil pokok hiasan milik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
Menurut pengguna berkenaan, pokok terbabit bukan untuk diagihkan kepada orang ramai, sebaliknya dipamerkan di laman pameran MBJB.
“Kenapa jadi macam ni orang Melaka? Pokok-pokok ini milik MBJB, tapi habis diambil orang. Sedangkan tak ada langsung ditulis pokok percuma atau sebagainya.
“Baru kali pertama Melaka jadi tuan rumah Hari Landskap Negara. Pokok percuma ada di khemah pihak berkuasa tempatan (PBT), tapi pokok MBJB pula jadi mangsa,” menurut hantaran itu.
Pada tahun ini, Melaka menjadi tuan rumah Sambutan Hari Landskap Negara 2026 yang berlangsung selama empat hari bermula Khamis hingga Ahad di Perkarangan Stadium Hang Jebat.
Sambutan itu menampilkan pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga termasuk pameran, jualan, pertandingan, persembahan pentas dan pelbagai program sepanjang penganjurannya.
Mengulas kejadian itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, insiden berlaku ketika pekerja MBJB sedang memindahkan lebihan pokok hiasan dari laman pameran mereka ke dalam lori.
Menurutnya, orang awam kemudian menyerbu dan mengambil sebahagian pokok tersebut kerana disangka percuma.
“Pihak pekerja MBJB telah cuba menghalang dan memaklumkan bahawa pokok tersebut bukan agihan pokok percuma. Namun, sebahagian daripadanya tetap diambil oleh orang awam.
“Tiada pokok bernilai ribuan ringgit diambil dalam kejadian itu, justeru pengunjung yang telah membawa pulang tanaman berkenaan tidak perlu memulangkannya,” katanya.
Pada masa sama, beliau mengingatkan semua pempamer laman PBT atau mana-mana peserta yang berhasrat mengagihkan pokok secara percuma supaya penyelarasan agihan dibuat di khemah agihan pokok yang terletak bersebelahan bas Klinik Pergigian Bergerak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

