Smart Amil lonjak kutipan zakat digital hampir 10 kali ganda

Kempen Smart Amil memanfaatkan teknologi DuitNow QR untuk menjadikan pembayaran zakat lebih mudah, telus dan efisien bagi amil serta pembayar zakat. - Gambar hiasan
Kempen Smart Amil memanfaatkan teknologi DuitNow QR untuk menjadikan pembayaran zakat lebih mudah, telus dan efisien bagi amil serta pembayar zakat. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kempen Smart Amil oleh Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) mencatat pertumbuhan kutipan zakat digital hampir 10 kali ganda sejak diperkenalkan pada Mac 2024, dengan lebih 148,000 transaksi bernilai melebihi RM6.3 juta direkodkan di enam negeri.

Kempen yang diperkenalkan bagi menggalakkan majlis agama dan institusi zakat menggunakan Bank Islam sebagai rakan perbankan utama bagi kutipan zakat itu kini berkembang menjadi platform pembayaran zakat fitrah tanpa tunai menerusi teknologi DuitNow QR, sekali gus memudahkan urusan amil dan pembayar zakat.

Sejak dilaksanakan, jumlah transaksi meningkat daripada 8,839 pada tahun 2024 kepada 59,543 transaksi pada 2025 sebelum melonjak kepada 80,299 transaksi pada tahun ini.

Dalam tempoh sama, jumlah kutipan zakat turut menunjukkan peningkatan ketara daripada RM390,516 pada 2024 kepada RM2.57 juta pada 2025 dan RM3.42 juta pada tahun ini.

Selain itu, penyertaan institusi zakat turut berkembang daripada hanya dua institusi di Johor dan Pulau Pinang ketika kempen diperkenalkan kepada enam negeri iaitu Johor, Pulau Pinang, Sarawak, Sabah, Kedah dan Melaka, dengan sebanyak 4,197 kod QR dijana untuk kegunaan amil di seluruh negara setakat tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz berkata, pertumbuhan itu mencerminkan peningkatan kecenderungan rakyat Malaysia menggunakan kaedah pembayaran digital ketika menunaikan kewajipan zakat.

“Pertumbuhan kukuh yang dicatatkan oleh Smart Amil mencerminkan peningkatan kecenderungan rakyat Malaysia terhadap pengalaman pembayaran digital yang mudah, selamat dan lancar, termasuk ketika menunaikan kewajipan ibadah mereka.

“Dengan memanfaatkan teknologi untuk mempermudah kutipan zakat, kami bukan sahaja meningkatkan kebolehcapaian dan memudahkan para pembayar zakat, malah turut memperkukuh ketelusan, tadbir urus dan kecekapan operasi bagi institusi zakat serta amil,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan teknologi itu bukan sahaja memudahkan proses pembayaran, malah memperkukuh kewangan sosial Islam melalui penyertaan lebih meluas masyarakat dalam pembayaran zakat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dana zakat yang dikutip disalurkan kepada golongan layak termasuk keluarga berpendapatan rendah, fakir miskin dan kumpulan asnaf lain bagi membantu meningkatkan kesejahteraan mereka.

Selain meningkatkan pengalaman pembayaran, penyelesaian berasaskan kod QR ini turut memberikan manfaat operasi yang dapat diukur kepada amil dan institusi zakat.

Ia termasuk menyingkir risiko yang berkaitan pengendalian wang tunai secara fizikal, proses penyesuaian secara automatik, pelaporan yang lebih pantas, keterlihatan transaksi yang lebih baik serta jejak audit digital yang lengkap.

Sepanjang tempoh kutipan zakat yang memuncak pada bulan Ramadan, institusi yang mengambil bahagian turut melaporkan proses kutipan yang lebih lancar dan pengurangan beban kerja pentadbiran.

Diintegrasikan dengan ekosistem pembayaran digital Bank Islam dan infrastruktur DuitNow QR Malaysia, penyelesaian ini membolehkan pembayar zakat membuat pembayaran dengan lancar melalui pelbagai aplikasi perbankan yang mengambil bahagian, pada masa sama, memastikan pematuhan terhadap piawaian industri dan pihak kawal selia.

Dalam pada itu, Bank Islam bercadang memperluaskan Smart Amil ke lebih banyak negeri dan institusi zakat di seluruh negara selain meneroka sokongan bagi pembayaran zakat pendapatan, zakat harta dan zakat emas pada masa hadapan.

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!