Kes pembakaran terbuka melonjak hampir enam kali ganda di Kelantan - Bomba

KOTA BHARU – Pembakaran yang dilakukan secara sengaja bagi tujuan pembersihan kawasan dan memulakan aktiviti pertanian dikenal pasti sebagai punca utama peningkatan mendadak kes kebakaran terbuka di Kelantan tahun ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Farhan Sufyan Borhan berkata, bermula Januari sehingga awal Ogos, pihaknya telah menerima 2,197 panggilan kebakaran terbuka, hampir enam kali ganda berbanding 373 kes sepanjang tahun 2025.
Menurut beliau, jumlah itu turut meletakkan Kelantan sebagai negeri kedua tertinggi di Malaysia menerima panggilan kebakaran terbuka selepas Kedah.
"Statistik ini amat membimbangkan. Bermula sekitar Mac hingga April, panggilan kebakaran terbuka meningkat dengan sangat tinggi.
"Hasil pemantauan kami mendapati kebanyakan kebakaran bukan berlaku secara spontan, sebaliknya dibakar dengan sengaja untuk dua tujuan utama iaitu membersihkan kawasan dan memulakan aktiviti penanaman," katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Bulanan JBPM Kelantan di sini pada Isnin.
Ujar beliau, lebih 70 peratus kebakaran terbuka di Kelantan melibatkan kawasan belukar manakala sebahagian kecil lagi membabitkan tanah gambut yang memerlukan operasi pemadaman lebih rumit dan berisiko.

Farhan Sufyan memberitahu, sikap tidak bertanggungjawab segelintir individu bukan sahaja mengundang pencemaran, malah boleh menyebabkan kerugian besar kepada pemilik kebun berhampiran.
"Pembakaran ini mungkin tidak memberi kesan kepada pelakunya, tetapi impaknya ditanggung pihak lain.
"Contohnya tanaman seperti nanas atau kelapa sawit yang sudah diusahakan berbulan-bulan boleh musnah hanya kerana tindakan sambil lewa dan mementingkan diri sendiri," katanya.
Menurut beliau, pihaknya berharap kejadian pembakaran terbuka dapat dikurangkan sepanjang musim cuaca panas ketika ini bagi mengelakkan risiko jerebu dan kebakaran lebih besar.
Ujarnya lagi, pihaknya akan memperkukuh kerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta kerajaan negeri bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap individu yang melakukan pembakaran terbuka.
"Jika pelaku dikenal pasti, kita akan serahkan kes kepada JAS dan PBT untuk tindakan penguatkuasaan kerana kuasa pendakwaan berada di bawah agensi berkenaan, manakala JBPM bertindak sebagai agensi respons kecemasan," katanya.
Dalam perkembangan sama, Farhan memaklumkan pihaknya dimaklumkan bahawa beberapa kes pembakaran terbuka telah diangkat oleh JAS untuk tindakan pendakwaan.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka kerana perbuatan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah pernah menyebabkan penutupan sekolah akibat pencemaran udara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

