MCCC gesa denda penceroboh tanah dinaikkan RM20 juta

Daniel Khoo (gambar kecil) berkata, hukuman lebih berat wajar dipertimbangkan bagi membanteras sindiket pencerobohan tanah yang semakin berleluas. Foto hiasan
Daniel Khoo (gambar kecil) berkata, hukuman lebih berat wajar dipertimbangkan bagi membanteras sindiket pencerobohan tanah yang semakin berleluas. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM – Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) menyokong penuh titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya setiap inci tanah negeri dipertahankan daripada penerokaan dan pencerobohan haram.

Selain itu, pertubuhan aktivis alam sekitar itu menggesa kerajaan memperketat undang-undang dengan menaikkan denda maksimum sehingga RM20 juta terhadap pesalah.

Pengerusi MCCC Pahang, Daniel Khoo berkata, hukuman lebih berat termasuk denda yang jauh lebih tinggi serta hukuman penjara wajar dipertimbangkan bagi membanteras sindiket pencerobohan tanah yang semakin berleluasa, sekali gus melindungi khazanah negeri daripada terus dieksploitasi demi kepentingan pihak tertentu.

Menurut beliau, tanah milik kerajaan merupakan aset perlu dipelihara kerana setiap bentuk penerokaan tanpa kelulusan bukan sahaja melanggar undang-undang, malah menyebabkan kerajaan negeri kehilangan hasil sepatutnya digunakan untuk pembangunan.

“Apabila tanah kerajaan diceroboh dan diusahakan secara haram, negeri kehilangan hasil yang sepatutnya diperoleh menerusi cukai, premium tanah dan pelbagai bayaran lain.

"Kerugian ini akhirnya memberi kesan kepada pembangunan negeri serta kebajikan rakyat.

“Sebab itu kami menyokong penuh titah Tuanku supaya setiap inci tanah negeri dipertahankan daripada sebarang bentuk pencerobohan. Khazanah negeri tidak boleh dibiarkan dieksploitasi oleh pihak yang hanya mementingkan keuntungan sendiri,” katanya kepada media pada Khamis.

Daniel berkata, isu pencerobohan tanah tidak boleh dipandang ringan kerana ia turut menjejaskan imej Pahang selain boleh mengundang pelbagai kegiatan lain seperti penerokaan hutan dan pembukaan tanah secara tidak terkawal.

Katanya, kerajaan negeri bersama agensi penguat kuasa perlu memperhebat operasi pemantauan di kawasan yang dikenal pasti berisiko serta mengambil tindakan segera terhadap mana-mana individu atau sindiket yang dikesan menceroboh tanah kerajaan.

Artikel Berkaitan:

“Tiada siapa boleh mengatasi undang-undang. Sesiapa yang menceroboh tanah kerajaan perlu dibawa ke muka pengadilan tanpa mengira kedudukan atau pengaruh mereka.

“Penguatkuasaan juga tidak boleh bersifat bermusim. Ia perlu dilakukan secara berterusan supaya kegiatan pencerobohan dapat dibendung sebelum menjadi lebih serius,” katanya.

Daniel turut menggesa orang ramai menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan melibatkan tanah kerajaan.

Sebelum ini, Sultan Pahang bertitah bahawa setiap inci tanah negeri wajib dipertahankan daripada penerokaan dan pencerobohan haram serta menegaskan tiada mana-mana pihak boleh sewenang-wenangnya menguasai tanah kerajaan tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!