Selepas 8 bulan percuma, kutipan Plaza Tol Eco Grandeur mula tengah malam ini

LATAR memaklumkan Plaza Tol Eco Grandeur bakal dikenakan bayaran tol mulai jam 12.01 tengah malam Jumaat.
LATAR memaklumkan Plaza Tol Eco Grandeur bakal dikenakan bayaran tol mulai jam 12.01 tengah malam Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengguna Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR) di Plaza Tol Eco Grandeur yang menikmati pengecualian bayaran tol selama lebih lapan bulan bakal dikenakan bayaran mulai jam 12.01 tengah malam Jumaat.

Ketua Pegawai Operasi LATAR, Ahmad Fuad Ahmad Shahimi berkata, pelaksanaan kutipan tol itu selaras dengan terma perjanjian konsesi selain bagi memastikan penyenggaraan, operasi serta penyampaian perkhidmatan lebuh raya dapat diteruskan secara mampan.

Menurutnya, Persimpangan Eco Grandeur mula dibuka kepada pengguna pada 11 November tahun lalu bagi menyediakan akses lebih mudah dan lancar ke kawasan pembangunan pesat seperti Eco Grandeur, Eco Business Park V, Puncak Alam, Ijok serta Kuala Selangor.

"Pembukaan Persimpangan Eco Grandeur telah meningkatkan tahap kebolehcapaian serta memudahkan pergerakan pengguna khususnya penduduk dan komuniti perniagaan di sekitar kawasan berkenaan.

"Kutipan tol kini dilaksanakan mengikut kadar yang telah diluluskan kerajaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Kadar tol di Plaza Tol Eco Grandeur bagi Kelas 1 ialah RM1.15, Kelas 2 (RM2.30), Kelas 3 (RM3.45), Kelas 4 iaitu teksi (57 sen) dan Kelas 5 membabitkan bas (RM1.15).

Ahmad Fuad berkata, plaza tol itu dilengkapi 10 lorong kutipan tol iaitu lima lorong bagi setiap arah bagi memastikan pergerakan pengguna lebih lancar.

Beliau memberitahu, pelbagai kaedah pembayaran turut disediakan termasuk Touch 'n Go, SmartTAG, RFID serta kad debit dan kad kredit.

"Plaza Tol Eco Grandeur adalah antara infrastruktur penting yang menyokong pertumbuhan pembangunan di koridor utara Selangor dengan menyediakan hubungan lebih cekap antara kawasan perindustrian, komersial dan perumahan di sekitar sejak dibuka tahun lalu," tambah beliau.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi talian 03-6145 1515 atau mengikuti laman web serta saluran media sosial rasmi LATAR Expressway bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai operasi lebuh raya.

LATAR memaklumkan Plaza Tol Eco Grandeur bakal dikenakan bayaran tol mulai jam 12.01 tengah malam Jumaat.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!