Dari sawah ke meja makan

A
A
A

Jentera menuai di tengah hamparan sawah padi yang menguning, selari dengan semangat dan pengorbanan petani demi bekalan makanan negara.
Jentera menuai di tengah hamparan sawah padi yang menguning, selari dengan semangat dan pengorbanan petani demi bekalan makanan negara.

Setiap kali musim penanaman padi,ia bermula dengan satu perjalanan membawa benih, baja, racun dan peralatan ke ladang. Apabila musim menuai tiba, hasil perlu dihantar ke kilang pemprosesan sebelum sampai ke pasar dan kedai runcit.

Setiap perjalanan itu bergantung kepada kenderaan diesel. Bagi pesawah dan pengusaha pertanian, lori dan pikap bukan sekadar pengangkutan, tetapi ia juga menghubungkan setiap peringkat pengeluaran makanan, dari sawah sehingga ke meja makan.

Jika pengangkutan terganggu, kesannya bukan hanya dirasai pesawah. Benih lambat sampai ke ladang, baja tidak dihantar mengikut jadual, hasil tuaian berisiko lewat dipasarkan dan ini turut memberi kesan kepada pengguna.

Melalui BUDI Diesel, golongan pesawah, pekebun kecil dan pengusaha ladang yang layak terus menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter bagi menyokong aktiviti pertanian harian mereka.

Proses kekal mudah

Di stesen minyak pula, urusan pengisian diesel berjalan seperti biasa. Pengesahan menggunakan MyKad dilakukan bagi mengesahkan kelayakan penerima, memastikan subsidi disalurkan kepada golongan yang benar-benar bergantung kepada diesel untuk mencari rezeki.

Usaha melindungi golongan pengusaha pertanian bukan sekadar membantu mereka mengurangkan kos operasi. Ia merupakan pelaburan untuk memastikan bekalan makanan negara terus stabil pada masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

Bagi pesawah dari Sungai Petani, Kedah, Abdul Rahman Ismail, 60, inisiatif BUDI Diesel memberi kelegaan kepada golongan petani yang bergantung kepada kenderaan diesel setiap hari untuk menguruskan sawah.

ABDUL RAHMAN
ABDUL RAHMAN

Katanya, rutin mengangkut benih, baja, peralatan dan hasil tuaian memerlukan penggunaan diesel yang konsisten sepanjang musim penanaman.

"Kami turun ke sawah seawal pagi dan hampir setiap hari menggunakan kenderaan diesel. "Dengan adanya BUDI Diesel, kami lebih bersyukur kerana bantuan ini benar benar membantu pesawah meneruskan kerja tanpa terlalu memikirkan kos bahan api. Kami boleh memberi tumpuan kepada memastikan hasil padi terus berkualiti," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pesawah dari Pasir Puteh, Kelantan, Zainab Hassan, 58, berkata, bantuan diesel bersubsidi memberi impak positif kepada kos operasi pertanian yang semakin mencabar.

ZAINAB
ZAINAB

Menurutnya, walaupun terdapat pelbagai kos lain yang perlu ditanggung, pengurangan beban perbelanjaan bahan api sedikit sebanyak membantu meningkatkan kelancaran aktiviti pertanian.

"Saya gembira kerana BUDI Diesel membantu mengurangkan kos pertanian. Apabila perbelanjaan diesel dapat dijimatkan, wang itu boleh digunakan untuk keperluan lain seperti membeli baja, benih atau penyelenggaraan peralatan. Bantuan ini amat bermakna kepada pesawah seperti kami," katanya.

Petani terima manfaat

Melalui BUDI Agri-Komoditi, lebih 205,000 pengusaha pertanian dan komoditi di seluruh negara menerima perlindungan di bawah inisiatif tersebut.

Daripada jumlah itu, seramai 167,186 pekebun kecil kelapa sawit, getah, koko, lada dan kenaf menikmati manfaat yang disediakan, selain 37,974 petani serta peladang kecil yang bergantung kepada diesel dalam menjalankan aktiviti pertanian harian.

Mereka bukan sekadar mengusahakan sawah atau kebun. Mereka memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan ketahanan makanan negara, memastikan rantaian bekalan tidak terputus dan membantu memenuhi keperluan jutaan rakyat Malaysia setiap hari.

No Image Caption

Apabila perjalanan mereka dipermudahkan, manfaatnya bukan hanya dirasai oleh golongan pesawah dan pekebun kecil.

Kesannya turut dinikmati oleh seluruh rakyat apabila bekalan makanan terus sampai ke pasar, kedai dan akhirnya ke meja makan keluarga di seluruh negara.

BUDI Diesel bukan sekadar mengenai bahan api atau subsidi. Ia merupakan satu bentuk sokongan kepada mereka yang bangun sebelum fajar, mengharungi panas dan hujan demi memastikan sawah terus mengeluarkan hasil, kebun terus subur dan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi.

Dari lumpur di petak sawah, kepada deruman enjin pikap yang membawa hasil tuaian ke kilang, seterusnya ke rak-rak kedai dan akhirnya ke meja makan, setiap perjalanan mempunyai makna yang besar kepada negara.

Di penghujung hari, apabila sepinggan nasi terhidang di hadapan keluarga Malaysia, di situlah berakhirnya perjalanan panjang seorang pesawah.

Perjalanan yang bermula sebelum matahari terbit, digerakkan oleh semangat, usaha yang tidak pernah mengenal penat dan sokongan yang membantu memastikan rezeki mereka terus berkembang demi menjamin bekalan makanan negara.

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!