Lima pegawai kanan Polis KL naik pangkat SAC

KUALA LUMPUR - Lima pegawai kanan polis Kontinjen Kuala Lumpur berpangkat Asisten Komisioner (ACP) dinaikkan pangkat Senior Asisten Komisioner (SAC).
Mereka ialah bekas Ketua Polis Daerah Sentul, SAC Basri Sagoni; bekas Ketua Polis Daerah Dang Wangi, SAC Sazalee Adam; bekas Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) (Risikan/Operasi) Kuala Lumpur, SAC Zulkarnain Samsudin, bekas Timbalan Ketua Cawangan Khas (Risikan dan Operasi) Kuala Lumpur, SAC Kamaruzaman Md Alib serta bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, SAC Haslah Bachok.
Basri dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (D7) Pencegahan/Tahanan/Pengawasan JSJ Bukit Aman manakala Sazalee menjawat jawatan sebagai Ketua JSJ Kuala Lumpur.
Zulkarnain, Kamaruzaman dan Haslah masing-masing pula dilantik sebagai Ketua JSJ Selangor, Penolong Pengarah E1A Cawangan Khas Bukit Aman serta Ketua Penolong Pengarah (Risikan/Operasi) Bahagian Pematuhan Standard Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.
Majlis pemakaian pangkat itu disaksikan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Khamis.

Menurut Fadil, kenaikan pangkat bukan sekadar satu pengiktirafan terhadap prestasi dan dedikasi yang telah ditunjukkan, malah merupakan satu amanah yang lebih besar untuk dipikul dengan penuh integriti, profesionalisme dan keikhlasan.
"Majlis ini juga mencerminkan kesinambungan kepimpinan dalam Polis Diraja Malaysia.
"Pertukaran jawatan merupakan satu proses yang penting bagi memastikan organisasi terus berkembang dengan idea, pengalaman dan pendekatan baharu, tanpa menjejaskan kelangsungan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat," katanya semasa berucap di Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas di sini.
Majlis tersebut turut menyaksikan ACP Kee Hang Kee dilantik sebagai Ketua JSJN Kuala Lumpur dan ACP Saefuddin @ Mohd Fitri Abdul Rahman dilantik sebagai Timbalan Ketua Cawangan Khas (Risikan Operasi) Kuala Lumpur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
