Tiada kes culik tebusan enam tahun, pencapaian keselamatan Sabah

KOTA KINABALU - Tiada laporan kes penculikan untuk tebusan wang sejak enam tahun lalu di kawasan pantai timur Sabah dilihat sebagai satu pencapaian penting bagi pasukan keselamatan di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkembangan keselamatan positif di ESSZone itu wajar disampaikan secara berkesan kepada perwakilan asing, termasuk kedutaan dan suruhanjaya tinggi ke negara ini.
"Ini penting supaya mereka dapat menilai semula dan seterusnya mempertimbangkan penurunan tahap nasihat perjalanan ke Sabah Timur berdasarkan perkembangan positif di mana tiada kes penculikan untuk wang tebusan dilaporkan di kawasan terbabit sejak Januari 2020.
"Ini akan meningkatkan keyakinan pelancong antarabangsa dan menggalakkan lebih ramai pengunjung datang ke Sabah, khususnya untuk menikmati pelbagai destinasi pelancongan menarik di Pantai Timur negeri ini," katanya pada mesyuarat Jawatankuasa Bersama ESS Zone di Menara Kinabalu pada Khamis.
Mesyuarat dipengerusikan beliau bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
"Secara keseluruhannya, keadaan keselamatan di ESSZone adalah baik dan terkawal. Baru-baru ini, saya sendiri telah melawat enam buah pulau di perairan Sabah untuk meninjau pos kawalan serta melihat tahap kesiapsiagaan anggota keselamatan di lapangan.
"Ketiadaan laporan kes penculikan untuk tebusan wang sejak enam tahun lalu merupakan satu pencapaian penting buat Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta semua agensi keselamatan.
"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ESSCOM, PDRM, ATM, APMM serta semua agensi keselamatan atas komitmen dan pengorbanan mereka dalam menjaga keselamatan perairan dan daratan Sabah Timur," katanya.
Hajiji berkata, kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan semua agensi berkaitan bagi memperkukuh keupayaan operasi, aset, kesiapsiagaan serta kebajikan anggota keselamatan.
Sebelum itu, hadir sama dalam mesyuarat ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman dan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Dr Awang Alik Jeman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

