Pelajar Malaysia jatuh sakit di Pattani dipindahkan ke HSB

ALOR SETAR – Pelajar Malaysia yang dilaporkan jatuh sakit ketika berada di Pattani, Thailand sejak Jumaat lalu berjaya dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini pada Rabu untuk meneruskan rawatan.
Mangsa, Nur Ilham Sofi Ahmad Fadzli, 22, merupakan pelajar tahun akhir Kulliyah Usuluddin, Sains al-Quran dan Bahasa Arab, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS).
Bapanya, Ahmad Fadzli Hashim, 52, berkata, ketika kejadian, Nur Ilham Sofi mengikutinya ke Pattani bagi melaksanakan urusan dengan sebuah pusat pengajian ulama terkenal di sana.
Ahmad Fadzli yang juga mantan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah berkata, ia berkaitan kuliah agama yang akan diadakan di sebuah maahad tahfiz di Kedah melibatkan jemputan kepada ulama berkenaan.
"Nur Ilham Sofi menghidap migrain kronik sejak kecil dan menjalani rawatan susulan mengikut jadual yang ditetapkan hospital.
"Namun, semasa di pertengahan jalan, dia tiba-tiba diserang penyakit sehingga terpaksa dihantar menerima rawatan di Hospital Pattani," katanya.

Bagaimanapun, beliau bersyukur apabila anaknya kini berjaya dipindahkan ke HSB dan berada bawah pemantauan pakar.
Katanya, Nur Ilham Sofi merupakan seorang yang ringan tulang dan aktif dalam kerja-kerja kebajikan kerana sering menyediakan juadah kepada pelajar kurang berkemampuan selain suka menjamu tokoh agama yang hadir dalam majlis ilmu.
"Saya mengucapkan terima kasih atas keprihatinan semua pihak yang membantu termasuk ambulan Yayasan Amal Malaysia Kedah, NGO, NGI yang membawa pulang anak ke sini... saya memohon agar rakyat Malaysia terus mendoakan kesembuhan anak saya," katanya.
Setakat ini beliau berkata, pihak keluarga masih menunggu perkembangan lanjut daripada pihak hospital sama ada Nur Ilham Sofi memerlukan pembedahan atau sebaliknya.
Nur Ilham Sofi kini dilaporkan sudah sedar, namun masih belum mampu bergerak dan bercakap.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban, boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam bernombor 020-200-208-74-516 atas nama Wan Bushra Wan Abd Rahman (ibu).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

