Karya, jasa Cik Man akan terus hidup dalam lipatan sejarah seni - Seniman

PERSATUAN Seniman Malaysia (Seniman) menyifatkan pemergian pelakon veteran, Kamarozaman Yusoff atau lebih dikenali sebagai Cik Man, 68, sebagai satu kehilangan besar kepada industri seni tanah air.
Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah berkata, Allahyarham yang meninggal dunia di Hospital Tanah Merah, Kelantan pada kira-kira 5.30 petang Rabu akibat komplikasi jantung, merupakan antara pelakon karakter terbaik negara.
Beliau berkata, sepanjang lebih empat dekad bergiat aktif dalam dunia lakonan, Allahyarham dikenali menerusi gaya lakonan yang bersahaja, penuh jiwa serta sinonim dengan loghat Kelantan yang menjadi identiti beliau.
"Walaupun Allahyarham bukanlah seorang yang mengejar pengiktirafan atau populariti, dedikasi, disiplin serta komitmen beliau terhadap dunia seni telah menjadikan beliau seorang seniman yang amat dihormati oleh rakan-rakan industri dan generasi pelapis.
"Perginya seorang seniman, namun karya dan jasanya akan terus hidup dalam lipatan sejarah seni tanah air,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Seniman turut merakamkan penghargaan atas segala jasa dan sumbangan Allahyarham dalam memartabatkan industri seni kreatif Malaysia serta mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Hafiz berkata, Allahyarham mula mencuri perhatian menerusi watak Farouk dalam filem Gila-Gila Remaja pada 1986, sebelum terus mengukuhkan kedudukan dalam industri menerusi pelbagai filem seperti Rozana Cinta 87, Rock, Rock Oo!, Rock Bro!, Tiada Tajuk, Cerita Hantu Malaysia, Mael Totey The Movie, Abu Si Raksasa serta drama bersiri Banyak Chanteq.
Katanya, watak Cik Man dalam trilogi filem Rock arahan Allahyarham Mamat Khalid pula menjadi antara watak paling ikonik dalam sejarah perfileman Malaysia dan kekal terpahat dalam ingatan pencinta seni tanah air. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
