SPAN keluarkan 270 notis kosongkan tangki septik

SUNGAI PETANI - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengeluarkan 270 notis pematuhan kepada pemilik premis selepas didapati gagal mengosongkan tangki septik secara berjadual dalam Ops Padi di sini pada Rabu.
Pengarah Seksyen Penguatkuasaan Bahagian Operasi SPAN, Ainal Yusman Mohamad Yusop berkata, tindakan penguatkuasaan dibuat susulan kegagalan pemilik premis mematuhi notis dikeluarkan Indah Water Konsortium (IWK) sebelum ini, bagi tujuan terbabit.
Menurutnya, operasi penguatkuasaan bermula 4 hingga 6 Ogos itu melibatkan 341 premis iaitu 242 komersial dan 99 domestik yang didapati gagal mematuhi notis pemberitahuan pengosongan tanki septik dikeluarkan IWK sebelum ini.
"Kita ada kes yang dibiarkan melebihi 10 hingga 15 tahun tidak diselenggara...mengikut rekod yang terakhir dibuat pada tahun 1999, 1997," katanya.
Beliau berkata demikian ketika melaksanakan operasi penguatkuasaan di sekitar Taman Sejati Indah, di sini pada Rabu.
Hadir sama, Ketua Jabatan Nyahenap Cemar Wilayah Utara IWK, Wan Abd Jalil Wan Husain.
Jelasnya, bawah Seksyen 65 (1)(C) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), seorang pemilik tangki septik hendaklah menyelenggara dan menjaga sistem tersebut dengan melantik pemegang lesen perkhidmatan atau pemegang permit untuk menjalankan nyah enap cemar ke atas tangki septik miliknya pada lat tempoh ditetapkan.
Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000.
Dalam pada itu, katanya, SPAN meminta semua pemilik dan penghuni premis agar memberi sepenuh kerjasama serta mematuhi notis dikeluarkan sekali gus memastikan penyelenggaraan tangki septik dilakukan secara berjadual.
"Ia sebagai jaminan kebersihan alam sekitar, kesihatan awam dan kelestarian sistem pembetungan negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

