LPT2 diarah tingkat rondaan malam, teliti pelaksanaan lampu LED

Alexander
Alexander
A
A
A

 

SHAH ALAM - Syarikat konsesi Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) diarah meningkatkan frekuensi rondaan terutama pada waktu malam di lokasi berisiko kemalangan selain penambahbaikan pencahayaan melalui skop projek pemasangan lampu LED.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanti Linggi berkata, cadangan itu akan diteliti dari sudut teknikal dan keperluan pelaksanaannya di sepanjang kawasan terlibat.

"Saya memandang serius keadaan ini kerana ia bukan sahaja melibatkan aspek keselamatan pengguna jalan raya, malah berkait rapat dengan pengurusan konflik manusia dan hidupan liar yang semakin mencabar.

"Dalam pada itu, saya ingin menasihatkan pengguna lebuh raya agar sentiasa berhati-hati, mematuhi had laju dan meningkatkan tahap kewaspadaan khususnya ketika melalui kawasan yang dikenal pasti sebagai laluan pergerakan hidupan liar," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

KM272.1 di LPT2
KM272.1 di LPT2

Sebelum ini media melaporkan, sepasangan suami isteri cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka melanggar sekumpulan gajah yang melintas di Kilometer 274.6 LPT2, selepas Plaza Tol Cheneh menghala ke Kuala Terengganu, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.20 malam itu, pemandu Toyota Estima, Abdul Wahid Ismail, 54, dan Fauziah Muda @ Jusoh, 52, cedera pada bahagian tangan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Alexander memaklumkan, berdasarkan laporan awal yang diterima, kawasan terbabit dilengkapi pagar keselamatan bagi menghalang kemasukan hidupan liar ke jajaran lebuh raya.

Bahagian pagar yang telah dirobohkan, dipercayai akibat rempuhan kawanan gajah
Bahagian pagar yang telah dirobohkan, dipercayai akibat rempuhan kawanan gajah

Namun menurutnya, pemeriksaan di lokasi mendapati terdapat bahagian pagar yang telah dirobohkan, dipercayai akibat rempuhan kawanan gajah yang melalui kawasan berkenaan.

"Sehubungan itu, saya telah mengarahkan syarikat konsesi LPT2 mengambil tindakan segera untuk membaik pulih pagar yang rosak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

"Pasukan teknikal telah berada di tapak bagi menilai tahap kerosakan dan menyelaras pelaksanaan kerja pembaikan dengan kadar segera dan dimaklumkan, kerja-kerja pembaikan akan bermula selewat-lewatnya Khamis.

"Saya turut mengarahkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengadakan perbincangan bersama pihak syarikat konsensi LPT2 dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi mengenal pasti langkah penyelesaian jangka panjang yang lebih berkesan," ujarnya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!