Suami isteri cedera, MPV rempuh gajah liar LPT2

Pasangan suami isteri cedera apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki merempuh sekumpulan gajah liar di Kilometer 274.6 LPT2 selepas susur keluar Plaza Tol Cheneh malam tadi.
Pasangan suami isteri cedera apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki merempuh sekumpulan gajah liar di Kilometer 274.6 LPT2 selepas susur keluar Plaza Tol Cheneh malam tadi.
A
A
A

CHUKAI - Pasangan suami isteri cedera apabila kenderaan pelbagai guna (MPV)  yang dinaiki merempuh sekumpulan gajah liar di Kilometer 274.6 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) selepas susur keluar Plaza Tol Cheneh di sini malam tadi. 

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata dalam kejadian pada 10.20 malam itu, mangsa Abdul Wahid Ismail, 55, mengalami kecederaan ringan pada tangan kiri manakala isterinya Fauziah Muda, 52, cedera di tangan kanan. 

Beliau berkata, ketika kejadian pasangan suami isteri itu dalam perjalanan dari arah Kuantan, Pahang untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Pasir Gajah di sini. 

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa Abdul Wahid memandu MPV jenis Toyota Estima di lorong sebelah kiri dan setibanya di lokasi kejadian terdapat sekumpulan gajah dipercayai berada di laluan yang dipandunya. 

"Berikutan jarak yang terlalu dekat mangsa tidak sempat mengelak lalu merempuh kumpulan gajah liar tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh Zubaderi Zahari berkata lapan anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian bertindak mengeluarkan Fauziah dan memberi rawatan awal kepada mereka. 

"Kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan perubatan sebelum dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut," katanya. - Bernama 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!