Prabowo vs Sembilan Naga: Pertembungan kuasa ekonomi Indonesia?

JAKARTA – Langkah Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menyusun semula ekonomi negara dengan peranan kerajaan yang lebih besar dilihat semakin mencetuskan ketegangan dengan kelompok konglomerat terkaya negara yang dikenali sebagai 'Sembilan Naga'.
Istilah Sembilan Naga sering digunakan bagi merujuk kepada keluarga hartawan berpengaruh, kebanyakannya daripada komuniti Cina Indonesia, yang menguasai pelbagai sektor utama termasuk perbankan, rokok, hartanah, kelapa sawit, perlombongan dan barangan pengguna.
Walaupun tiada senarai rasmi mengenai kumpulan itu, label tersebut sering dikaitkan dengan empayar perniagaan besar seperti Djarum, Salim Group, Lippo Group, Golden Agri-Resources, Barito Pacific dan Agung Sedayu.
Prabowo tidak pernah secara terbuka menamakan Sembilan Naga sebagai sasaran, namun penganalisis berpandangan beberapa kenyataan serta dasar pentadbirannya menunjukkan usaha membawa kelompok elit perniagaan lama di bawah kawalan kerajaan yang lebih ketat.
"Prabowo mungkin tidak menyebut nama mereka, tetapi jelas beliau sedang menyasarkan kelompok tersebut," kata Made Supriatma, felo pelawat Program Pengajian Indonesia di Institut ISEAS-Yusof Ishak.
Menurut penganalisis, pendekatan Prabowo termasuk usaha mengawal eksport utama, menangani aliran kekayaan ke luar negara serta menggerakkan dana golongan hartawan untuk menyokong projek kerajaan.
Bagaimanapun, hubungan antara kerajaan dan konglomerat besar itu bersifat saling bergantung.
Golongan hartawan masih mempunyai pengaruh besar dalam ekonomi Indonesia, manakala kerajaan pula memerlukan modal swasta bagi membiayai pelbagai agenda utama pentadbiran.
“Mereka berada dalam keadaan sukar sama ada tunduk kepada Presiden atau membawa perniagaan mereka ke tempat lain,” kata Made.
Namun, Vedi Hadiz, ahli sosiologi politik dari Universiti Melbourne dan penulis buku Reorganising Power in Indonesia: The Politics of Oligarchy in an Age of Markets, berpandangan pilihan untuk meninggalkan Indonesia adalah tidak realistik.
Menurutnya, sebahagian besar pendapatan konglomerat itu masih bergantung kepada operasi dalam ekonomi domestik Indonesia.
Usaha perluas kawalan kerajaan
Dasar Prabowo turut memberi tumpuan kepada isu kebocoran ekonomi negara.
Dalam mesyuarat Kabinet pada Julai lalu, beliau mendakwa Indonesia kehilangan 'ratusan bilion dolar setiap tahun' akibat manipulasi nilai perdagangan, laporan eksport palsu, pemindahan keuntungan ke lokasi cukai rendah serta penyeludupan.
Sebagai tindak balas, kerajaan memperkenalkan mekanisme baharu untuk meningkatkan kawalan terhadap aliran eksport, termasuk sistem sehenti bagi komoditi utama melalui Danantara Sumberdaya Indonesia (DSI), sebuah cabang baharu agensi pelaburan negara Danantara.
Kerajaan turut memperkenalkan mekanisme Pendapatan Eksport Pertukaran Asing (DHE) yang mewajibkan pengeksport sumber asli bukan minyak dan gas mengekalkan hasil eksport mereka di Indonesia sekurang-kurangnya selama 12 bulan.
Namun, pengkritik bimbang langkah tersebut memberikan kerajaan terlalu banyak kuasa terhadap aliran tunai syarikat swasta, kontrak komersial dan harga eksport, terutama membabitkan syarikat besar dalam sektor komoditi.
Bhima Yudhistira Adhinegara, pengarah eksekutif Pusat Kajian Ekonomi dan Undang-undang (Celios) berkata, dasar itu boleh dilihat sebagai mesej tekanan kepada konglomerat supaya selari dengan agenda kerajaan.
“Matlamatnya adalah memberi tekanan kepada hartawan supaya mengikut kehendak kerajaan atau berdepan risiko terhadap perniagaan mereka,” katanya.
Kebangkitan kelompok hartawan baharu
Dalam masa sama, penganalisis melihat Prabowo turut memberi ruang kepada kelompok usahawan baharu yang lebih rapat dengan agenda pemerintah, termasuk jutawan arang batu Haji Isam.
Andi Syamsuddin Arsyad atau lebih dikenali sebagai Haji Isam meningkat daripada latar belakang sederhana sebelum membina empayar perniagaan melalui industri arang batu di Kalimantan Selatan.
Beliau kemudian mengembangkan perniagaan menerusi sektor kelapa sawit, perkapalan, logistik dan penerbangan melalui Jhonlin Group.
Haji Isam dilihat semakin menonjol dalam agenda keselamatan makanan Prabowo, termasuk projek ladang makanan besar-besaran di Merauke, Papua Selatan yang menyasarkan pembukaan satu juta hektar kawasan pertanian baharu.
Bhima berkata, tekanan terhadap golongan hartawan lama dan kemunculan tokoh perniagaan baharu merupakan sebahagian strategi dua hala Prabowo untuk membentuk kapitalisme negara.
“Beliau mahu membawa oligarki lama di bawah kawalan kerajaan, sambil menggalakkan kemunculan hartawan baharu yang lebih setia kepada agenda pentadbiran,” katanya.
Hubungan masih bergantung antara satu sama lain
Walaupun pendekatan Prabowo menimbulkan kebimbangan terhadap keyakinan pasaran dan kemungkinan aliran keluar modal, Vedi berpandangan hubungan antara kerajaan dan konglomerat besar Indonesia tidak akan berakhir dengan perpecahan mutlak.
Menurutnya, tiada konglomerat utama Indonesia mampu bertahan tanpa hubungan dengan kelompok politik berkuasa.
“Hartawan mungkin tidak berpuas hati dan akan membantah, tetapi secara keseluruhannya mereka akan bekerjasama,” katanya.
Beliau menyifatkan hubungan antara kedua-dua pihak sebagai satu bentuk 'simbiosis' kerana Prabowo masih memerlukan sokongan golongan hartawan bagi menjayakan program utama kerajaan.
Namun, sebagai pertukaran kepada sokongan itu, Presiden juga perlu memastikan kepentingan perniagaan mereka terus diberi ruang.- Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

