RCI Tabung Haji: Lima kertas siasatan dibuka babit kes jenayah komersial

KUALA LUMPUR - Sebanyak lima kertas siasatan dibuka berhubung kes jenayah komersial susulan sembilan laporan polis yang diterima berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, laporan berkenaan diterima daripada TH, anak syarikat TH serta orang awam.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Kanun Keseksaan, Akta Tabung Haji 1995, Akta Syarikat 1965 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA/ATFPUAA).
"Tindakan sedang diambil bagi melengkapkan siasatan termasuk merakam keterangan saksi-saksi dari dalam dan luar negara selain mendapatkan dokumen berkaitan bagi membantu siasatan.
"PDRM komited memastikan setiap siasatan dijalankan secara bebas, telus, profesional serta berlandaskan undang-undang," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Media sebelum ini melaporkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerbitkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung siasatan terhadap isu pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Dokumen setebal 211 halaman dalam format dokumen mudah alih (PDF) itu dimuat naik di laman web JAKIM pada malam Selasa dan mengandungi ringkasan eksekutif, empat bab utama serta senarai ekshibit berkaitan siasatan.
Ia turut mengandungi penemuan siasatan dan syor penambahbaikan pengurusan serta operasi TH untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16 ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Mengulas lanjut, Rusdi berkata, mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sebarang perlakuan jenayah akan diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung siasatan yang sedang dijalankan.
"Sebarang kenyataan atau penyebaran maklumat yang tidak berasaskan fakta bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat, malah berpotensi menjejaskan proses siasatan.
"Orang ramai diseru mendapatkan maklumat hanya melalui saluran rasmi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

