RCI Tabung Haji: Tiga individu direman lima hari

PUTRAJAYA - Tiga individu membabitkan timbalan pengurus besar pembinaan, pengurus keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta pengarah projek sebuah syarikat hartanah yang merupakan anak syarikat badan berkanun direman lima hari disyaki bersubahat menyeleweng caj notis penalti (NOP) kira-kira RM450,000.
Reman ini susulan siasatan oleh pasukan khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditubuhkan bagi menyemak dan meneliti hasil Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji yang telah didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai lalu.

Perintah reman sehingga 9 Ogos terhadap ketiga-tiga suspek telah dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu.
Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an telah ditahan jam 6 petang, Selasa di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2017 hingga 2019," katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

SPRM sebelum ini memaklumkan telah menubuhkan satu pasukan khas diketuai oleh Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar bagi menyemak dan meneliti hasil laporan RCI Tabung Haji.
Susulan itu, pada Jumaat lepas SPRM telah menggerakkan lapan pegawainya ke Ibu Pejabat Tabung Haji di Kuala Lumpur bagi meneliti dokumen berkaitan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
