Penganggur mengaku salah pecah masuk empat premis

KOTA BHARU – Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas empat pertuduhan melakukan pecah masuk dua kedai dobi dan dua pejabat di sekitar daerah ini antara 24 Jun hingga 8 Julai lalu.
Tertuduh, Mohamad Shahrul Fariman Azrisham, 31, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan pecah masuk ke sebuah pejabat di Menara Saujana, Jalan Hospital, Kampung Paya Bemban kira-kira jam 9 pagi, 24 Jun lalu.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan pecah masuk ke pejabat Pusat Sebaran Maklumat Nasional di Jalan Long Yunus pada jam 9.50 pagi, 6 Julai.
Dia turut didakwa melakukan pecah masuk sebuah kedai dobi di Kampung Paya Bemban pada jam 2.30 pagi, 7 Julai serta sebuah lagi kedai Dobi Layan Diri Rizqi di Wisma WNC, Jalan Hospital, Kampung Paya Bemban pada jam 10 pagi, 8 Julai.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda.
Jika kesalahan itu dilakukan dengan niat untuk mencuri, pesalah boleh dipenjara sehingga 14 tahun, manakala bagi kesalahan berulang boleh turut dikenakan denda atau sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 26 Ogos ini untuk fakta kes serta hukuman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

