'Patut ada pertarungan semula' - CEO ONE Championship

Johan secara terbuka mencabar Ramadan untuk pertarungan semula. FOTO: ONE Championship
Johan secara terbuka mencabar Ramadan untuk pertarungan semula. FOTO: ONE Championship
A
A
A

BINTANG sensasi Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar wajar diberikan pertarungan ulangan menentang Ramadan Ondash.

Pandangan itu disuarakan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ONE Championship, Chatri Sityodtong sekali gus membayangkan kemungkinan pertarungan semula itu bakal direalisasikan.

"Secara peribadi, saya fikir Johan menang. Tetapi ia sangat sengit. Jika Jojo lebih agresif pada pusingan terakhir, juri mungkin memberi kemenangan kepadanya.

"Tetapi sejujurnya, ia memang sangat dekat. Tanpa ragu-ragu, perlu ada 100 peratus pertarungan semula," katanya seperti dipetik daripada laman Facebook Muaythai Malaysia.

Terdahulu, Johan secara terbuka mencabar Ramadan untuk pertarungan ulangan selepas pertemuan mereka di pentas ONE Championship mengundang pertikaian khususnya mengenai penguatkuasaan peraturan dalam gelanggang.

Pertikaian itu tercetus berikutan insiden pelindung gigi Ramadan yang terkeluar beberapa kali sepanjang perlawanan yang dilihat sengaja dilakukan bagi mengganggu momentum serangan Johan sekali gus memberi ruang untuk Ramadan berehat dan mengambil nafas.

Tindakan itu menyebabkan tempo pertarungan terganggu dan Johan kehilangan kelebihan apabila serangan agresifnya terhenti berulang kali disebabkan pengadil perlu menghentikan perlawanan untuk memasukkan semula pelindung gigi berkenaan.

Keputusan perlawanan itu menyaksikan Ramadan diumumkan sebagai pemenang menerusi keputusan juri sekali gus memberi kekalahan buat Johan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!