Sindiket dadah guna pusat hiburan tumpas, pasangan suami isteri diberkas

Mohd Alwi (kiri) menunjukkan sitaan kereta dan tangkapan suspek hasil empat siri serbuan di sekitar Ipoh dan Tapah.
Mohd Alwi (kiri) menunjukkan sitaan kereta dan tangkapan suspek hasil empat siri serbuan di sekitar Ipoh dan Tapah.
A
A
A

IPOH - Suami isteri antara tujuh individu yang ditahan dalam empat siri serbuan membanteras sindiket pengedaran dadah jenis ketamin dan pil Erimin 5 di sekitar Ipoh dan Tapah.

Kesemua suspek terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita tempatan berusia 22 hingga 44 tahun ditahan hasil serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada 4 dan 5 Ogos lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, dalam serbuan pertama di sebuah pusat hiburan di Ipoh, dua lelaki ditahan bersama rampasan ketamin seberat 20.08 gram dan MDMA seberat 94.21 gram.

Mohd Alwi (tiga dari kiri) menunjukkan rampasan dadah jenis ketamin dan pil Erimin 5 hasil empat siri serbuan di sekitar Ipoh dan Tapah.
Mohd Alwi (tiga dari kiri) menunjukkan rampasan dadah jenis ketamin dan pil Erimin 5 hasil empat siri serbuan di sekitar Ipoh dan Tapah.

“Serbuan kedua di lokasi sama membawa kepada penahanan dua lelaki dan dua wanita serta rampasan MDMA seberat 480.60 gram dan ketamin 4.06 gram,” katanya dalam sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Polis di sini pada Khamis.

Beliau berkata, hasil soal siasat kemudiannya membawa kepada serbuan ketiga di sebuah rumah di Tapah dengan rampasan MDMA seberat 2,502.10 gram dan ketamin 4.06 gram.

Katanya, serbuan keempat di sebuah rumah di sekitar Bukit Pagar, Tapah pula membawa kepada penahanan seorang lelaki bersama rampasan MDMA seberat 151.62 gram dan ketamin 9.68 gram.

"Jumlah rampasan dadah dianggarkan bernilai RM538,451 dan mampu merosakkan seramai 23,332 pengguna.

Artikel Berkaitan:

"Polis turut menyita tiga kenderaan dan wang tunai di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan nilai keseluruhan mencecah RM794,827,” katanya.

Mohd Alwi berkata, sindiket tersebut dipercayai aktif sejak Jun lalu dengan menjadikan pusat hiburan sebagai lokasi utama pengedaran dadah.

Tambah beliau, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine manakala lima lagi negatif.

"Semakan mendapati, enam daripada tujuh suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Kesemua Suspek yang ditahan telah direman antara tiga hingga empat hari bermula 5 Ogos lalu.

Terdahulu, Mohd Alwi menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Asisten Komisioner kepada Ridzuan Nor Ihsan yng dilantik Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Perak dan menyaksikan Serah Terima Tugas Asisten Komisioner S Saravanan sebagai Ketua Polis Daerah Taiping.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!