'Derma darah menyelamat nyawa, jadikan budaya hidup'

Vince menjadikan aktiviti derma darah sebagai rutin dalam kehidupannya.
Vince menjadikan aktiviti derma darah sebagai rutin dalam kehidupannya.
A
A
A

SHAH ALAM – Bermula dengan sekadar mahu menyumbang kepada masyarakat dan memantau tahap kesihatan diri, seorang penderma darah aktif, Vince Hoor kini berharap lebih ramai rakyat Malaysia menjadikan aktiviti itu sebagai budaya hidup.

Lelaki berusia 36 tahun itu berkata, dia melakukan pendermaan darah pertama pada 18 Mei 2013 ketika bekerja sebagai pembantu penyelidik di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan kini telah mencecah 29 kali.

Menurutnya, ketika itu dia mula memahami bahawa pendermaan darah bukan sahaja memberi manfaat kepada pesakit yang memerlukan, malah membantu penderma lebih peka terhadap keadaan kesihatan sendiri.

"Sejak itu, saya melihat pendermaan darah sebagai satu aktiviti yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

"Apabila keadaan kesihatan mengizinkan, saya akan terus menderma secara berkala," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini hantaran Vince di Threads mendapat perhatian warga maya apabila berkongsi pengalaman menderma darah sehingga mampu menyelamatkan pesakit kanak-kanak.

Berkongsi pengalaman itu, guru kimia dari Pulau Pinang itu memaklumkan, doktor memberitahu bahawa fenotip darahnya serasi untuk seorang kanak-kanak yang menghidap talasemia.

Pemilik kumpulan darah AB+ RR+ itu memberitahu, perkara berkenaan bukan sesuatu untuk dibanggakan, sebaliknya menjadi tanggungjawab membantu insan lain.

"Apabila mendengar perkara tersebut, saya benar-benar sedar bahawa darah yang kita dermakan mempunyai penerima sebenar dan boleh membantu seseorang untuk terus hidup.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak mengetahui identiti kanak-kanak itu. Maklumat tersebut hanya disebut secara spontan ketika doktor menerangkan mengenai fenotip darah saya dan isu talasemia," ujarnya.

Dalam masa itu Vince berkata, masih ramai yang takut untuk menderma darah kerana belum pernah melalui pengalaman tersebut selain bimbang terhadap jarum suntikan, kesakitan atau kekurangan darah.

Bagaimanapun jelasnya, setiap penderma akan menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu dan hanya individu yang benar-benar layak dibenarkan menderma.

"Selepas mencuba sekali, ramai akan sedar bahawa prosesnya tidaklah seperti yang dibayangkan.

"Pengalaman sebenar daripada penderma juga dapat membantu mengubah persepsi masyarakat," ujarnya.

Beliau turut menyeru orang ramai agar tidak menunggu sehingga ahli keluarga sendiri memerlukan darah sebelum tampil menjadi penderma.

"Selagi kita sihat dan layak, cubalah membantu kerana tabung darah di Malaysia sentiasa memerlukan pendermaan darah yang konsisten.

"Saya berharap lebih ramai golongan muda melihat pendermaan darah sebagai satu budaya membantu sesama manusia, bukan sekadar dilakukan sekali-sekala," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!