Olympia perkukuh kerjasama strategik, perluas impak kepada komuniti

KUALA LUMPUR – Olympia Education Malaysia mengorak langkah baharu dengan memperkukuh peranannya sebagai ekosistem pendidikan dan impak menerusi Program Penglibatan Kerjasama Strategik & Impak Komuniti Olympia 2026 di Hotel Premiera, di sini pada Jumaat.
Ketua Pegawai Eksekutif Olympia Education Malaysia, Datuk Seri Abdul Rani Osman berkata, penganjuran sempena Sidang Puncak Kepimpinan Global W.I.S.H. 2026 itu mencerminkan komitmen berterusan institusi berkenaan.
Menurutnya, usaha itu bagi memastikan kerjasama dengan pelbagai pihak tidak terhenti setakat majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), sebaliknya diterjemahkan kepada program berteraskan tindakan, peluang serta keberhasilan yang boleh diukur.
Katanya, menerusi tema Daripada Kerjasama Strategik kepada Impak Komuniti Mampan, Olympia menerajui kerjasama rentas sektor melibatkan pendidikan, industri, sukan, pembangunan profesional dan penglibatan komuniti.

"Langkah ini diambil bagi mengukuhkan hubungan antara sektor pendidikan dengan keperluan dunia sebenar, di samping meluaskan peluang kepada pelajar, institusi dan masyarakat," katanya pada majlis berkenaan.
Hadir sama Canselor dan Pengerusi Kehormat Olympia Education Malaysia, Tan Sri Dr Yusof Noor, serta tetamu kehormat diraja, pemimpin kerajaan, penggubal dasar, peneraju industri, institusi pendidikan dan rakan strategik.
Mengulas lanjut, Abdul Rani berkata, antara sorotan utama program ialah pelancaran awal World Islamic Economic Week (VIEW) 2027 yang dirancang sebagai platform menghubungkan bidang ilmu, industri, keusahawanan dan ekosistem ekonomi Islam secara menyeluruh.
"Inisiatif ini mencerminkan aspirasi Olympia untuk memudah cara wacana serta kerjasama yang lebih luas berkaitan peluang ekonomi baharu dan pembangunan mampan," ujar beliau.
Menurutnya, program itu turut menyaksikan pelancaran Kempen Amanah Tunai, Aset & Pusaka Digital Rakyat (e-ATAP) yang memperluaskan agenda impak sosial ke arah meningkatkan kesedaran awam serta memperkasa perancangan kewangan, aset dan pusaka digital secara bertanggungjawab.

Tambahnya, Olympia turut membawa pendidikan lebih dekat kepada masyarakat menerusi Program Sekolah Angkat serta Program Mukim & Kampung Angkat.
Katanya, inisiatif itu menterjemahkan prinsip pendidikan dan sumber institusi tidak seharusnya terhad dalam kampus semata-mata.
Sebaliknya, ia perlu diperluaskan ke sekolah dan komuniti supaya ilmu, pembinaan kapasiti serta sokongan strategik dapat membawa perubahan bermakna.
Beliau berkata, kejayaan inisiatif itu tidak akan diukur semata-mata berdasarkan jumlah MoU dimeterai, sebaliknya melalui program yang berjaya dilaksanakan, komuniti yang dibantu, peluang yang diwujudkan, pelajar yang disokong, rangkaian strategik diperkukuh serta hasil mampan yang berjaya disampaikan.
Menurutnya, Penglibatan Kerjasama Strategik & Impak Komuniti Olympia 2026 mencerminkan hala tuju institusi ke arah kerjasama berimpak tinggi dan keharmonian mampan.
"Mesej utama kami amat jelas, kerjasama mesti mempunyai tujuan dan tujuan mesti menghasilkan impak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

