Malaysia, Vietnam perkukuh kerjasama pertahanan - Mohamed Khaled

Mohamed Khaled mengadakan pertemuan dua hala bersama Menteri Pertahanan Vietnam, Jeneral Phan Van Giang bersempena dengan lawatan rasmi dua hari ke negara berkenaan. Foto FB Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled mengadakan pertemuan dua hala bersama Menteri Pertahanan Vietnam, Jeneral Phan Van Giang bersempena dengan lawatan rasmi dua hari ke negara berkenaan. Foto FB Mohamed Khaled Nordin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia dan Vietnam komited untuk terus memperkukuh kerjasama pertahanan, sekali gus menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran ASEAN, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Dalam kenyataan pada Rabu, beliau berkata, perkara itu dibincangkan semasa pertemuan dua hala bersama Menteri Pertahanan Vietnam, Jeneral Phan Van Giang bersempena dengan lawatan rasmi dua hari ke negara berkenaan yang bermula semalam.

Beliau berkata, pelbagai bidang kerjasama dibincangkan, termasuk latihan ketenteraan dua hala, perkongsian risikan, maritime domain awareness (kesedaran domain maritim), operasi menyelamat kapal selam, kecerdasan buatan (AI), industri pertahanan serta usaha menghadapi cabaran keselamatan baharu, seperti aktiviti grey zone.

"Saya turut mengemukakan cadangan supaya mekanisme kerjasama diperkasakan melalui komuniti peringkat tertinggi bagi memastikan setiap inisiatif dapat diselaras dan dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.

Mengenai perkembangan strategik serantau termasuk isu Laut China Selatan, Mohamed Khaled menegaskan bahawa keamanan dan kestabilan perlu terus dipelihara melalui dialog, diplomasi dan undang-undang antarabangsa, di samping menyokong pemuktamadan Kod Tatalaku (CoC) yang efektif dan bermakna.

"Malaysia menegaskan bahawa ASEAN perlu terus mengekalkan perpaduan, autonomi strategik dan peranan utamanya dalam memelihara keamanan serta kestabilan rantau,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan lawatan rasmi Mohamed Khaled merupakan manifestasi komitmen berterusan Malaysia dan Vietnam dalam mempertingkat hubungan pertahanan pada peringkat kepimpinan tertinggi, susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertahanan pada 4 Nov 2023.

Menurut kenyataan itu, Mohamed Khaled memulakan siri lawatan dengan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Vietnam Le Minh Hung semalam.

Perbincangan tertumpu kepada perincian hala tuju kerjasama teknikal merangkumi penyelarasan kursus dan latihan pegawai tentera serta pengukuhan keselamatan maritim.

Artikel Berkaitan:

"Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak menzahirkan komitmen utuh terhadap platform Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus bagi memastikan keberkesanan kerangka pelbagai hala ini kekal relevan selari dengan prinsip Kepusatan ASEAN," menurut kenyataan itu.

Lawatan itu dilaksanakan berlandaskan aspirasi Pelan Strategik Pertahanan Negara 2026-2030 menerusi Teras 6: Pengukuhan Hubungan Pertahanan Antarabangsa Dalam Menjamin Kedaulatan Negara.

"Pelaksanaan diplomasi pertahanan bilateral ini secara langsung merealisasikan tonggak utama Perkongsian Berwibawa seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan, seterusnya memperkukuh keselamatan negara, kestabilan serantau dan keamanan sejagat," menurut kenyataan itu. - Bernama

 

 

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!