Mengaku bertunang, janda dan lelaki bujang dicekup khalwat

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki dan wanita yang mendakwa sudah bertunang serta merancang mendirikan rumah tangga hujung tahun ini ditahan kerana disyaki berkhalwat selepas ditemui berdua-duaan di sebuah rumah di Taman Daya, awal pagi Isnin
Dalam serbuan kira-kira jam 12.05 tengah malam itu, anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bertindak selepas menerima aduan orang awam.
Menurut kenyataan JAINJ, pintu rumah hanya dibuka kira-kira lapan minit selepas diketuk oleh penguat kuasa sebelum pemeriksaan dijalankan.
"Penguat kuasa kemudiannya memperkenalkan diri dan masuk ke dalam rumah untuk membuat pemeriksaan.
"Tiada orang lain ditemui di ruang tamu dan penguat kuasa bertanya kepada wanita berkenaan siapa lagi yang berada dalam rumah.
"Wanita itu beritahu dia bersama tunangnya sedang makan di dapur dan pemeriksaan lanjut menemui seorang lelaki yang berseluar panjang, namun tidak berbaju," katanya.
Menurut JAINJ, hasil soal siasat mendapati pasangan itu bukan suami isteri di mana lelaki itu masih bujang dan wanita pula berstatus janda tiada anak dan mereka bekerja di daerah ini.
"Hasil pemeriksaan menemui seorang lelaki berusia lingkungan 30-an sedang menikmati makanan di ruang dapur.
"Kedua-duanya mengaku sudah bertunang dan merancang berkahwin pada hujung tahun ini," menurut kenyataan itu.
JAINJ berkata, pemeriksaan lanjut di dalam rumah yang disewa wanita berkenaan menemui beberapa pakaian lelaki selain keadaan bilik utama yang dipercayai baru digunakan.
"Wanita terbabit tinggal bersendirian di rumah itu, manakala lelaki berkenaan memaklumkan dia datang menaiki motosikal kira-kira jam 10 malam sebelum serbuan dijalankan," katanya.
Menurut JAINJ, pengadu turut mendakwa lelaki terbabit kerap datang ke rumah itu dan berada di situ dalam tempoh yang lama sehingga menimbulkan syak wasangka dalam kalangan penduduk.
Pasangan berkenaan kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor kerana disyaki berkhalwat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

