Pas dukacita, kesal hantaran media sosial didakwa hina institusi diraja

KANGAR - Pas Kawasan Kangar menzahirkan rasa dukacita dan kesal terhadap penularan kenyataan di media sosial yang didakwa menghina penganugerahan darjah kebesaran serta pingat negeri oleh institusi diraja Perlis.
Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Kangar, Abdul Jamil Kamis berkata, Institusi Raja-Raja Melayu merupakan tonggak penting dalam sistem kenegaraan Malaysia sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan pingat negeri adalah suatu bentuk pengiktirafan yang diberikan Tuanku Raja Perlis kepada individu difikirkan layak atas sumbangan serta khidmat bakti mereka.
"Selaras prinsip kedua Rukun Negara, 'Kesetiaan kepada raja dan negara', setiap rakyat wajar memelihara adab, kesopanan serta rasa hormat terhadap institusi yang menjadi lambang kedaulatan negara.
"Perbezaan pandangan dalam apa jua perkara tidak seharusnya diterjemahkan dengan penghinaan terhadap institusi yang mempunyai kedudukan tinggi di sisi Perlembagaan dan adat istiadat negara,"katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, siasatan sedang dijalankan berhubung hantaran di media sosial yang didakwa menghina institusi diraja Perlis berkaitan penganugerahan pingat kebesaran negeri.
Menurut Yusharifuddin, pihaknya menerima laporan polis dari seorang pembantu tadbir berusia 35 tahun dan peniaga berusia 40 tahun yang tidak berpuas hati dengan hantaran berkenaan pada Jumaat.
Jelas Abdul Jamil, kritikan hendaklah disampaikan secara beradab tanpa menyentuh atau merendahkan martabat institusi diraja termasuk tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham, perpecahan dan ketegangan dalam kalangan masyarakat.
"Dalam era media sosial yang pantas menyebarkan maklumat, setiap individu perlu lebih berwaspada terhadap sebarang tindakan dilakukan,"katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Pas Kawasan Arau, Solahudin Azmi meminta semua pihak mengamalkan budaya politik matang, berhemah dan bertanggungjawab.
"Kebebasan bersuara hendaklah dilaksanakan dengan penuh adab, menghormati undang-undang serta tidak mencetuskan perpecahan dalam masyarakat.
"Marilah kita bersama-sama mempertahankan kemuliaan Institusi Raja-Raja Melayu sebagai payung negara, demi memelihara perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

