DAP putuskan soal kedudukan dalam kerajaan pada 16 Ogos ini

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] DAP akan menentukan kedudukannya dalam Kerajaan Persekutuan pada Persidangan Kebangsaan parti itu yang dijadual berlangsung pada 16 Ogos ini.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, satu usul berhubung perkara itu akan dibentangkan kepada perwakilan sebelum diputuskan oleh hampir 4,000 perwakilan yang layak menghadiri persidangan berkenaan.
"Pada mesyuarat CEC malam ini, kita memutuskan untuk mengemukakan satu usul pada Persidangan Kebangsaan DAP pada 16 Ogos.
"Usul itu adalah bagi menentukan sama ada DAP akan kekal dalam kerajaan sehingga tamat tempoh Parlimen semasa atau sebaliknya," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP di ibu pejabat parti di sini pada Isnin malam.
Anthony berkata, keputusan berhubung perkara itu tidak akan ditentukan oleh CEC, sebaliknya diserahkan sepenuhnya kepada para perwakilan sebagai menghormati proses demokrasi dalaman parti.
Menurutnya, seramai lebih 4,000 perwakilan akan diberikan kebebasan sepenuhnya untuk mengundi secara sulit tanpa dipengaruhi sebarang pendirian rasmi daripada kepimpinan parti.
"Kita serahkan kepada kebijaksanaan para perwakilan untuk membuat keputusan sama ada DAP harus kekal dalam kerajaan sehingga akhir penggal ini ataupun sebaliknya.
"Keputusan itu bukan dibuat oleh CEC, tetapi oleh para perwakilan kerana ia adalah keputusan yang besar dan perlu diputuskan secara kolektif," ujarnya.
Beliau berkata, CEC sengaja tidak mengambil sebarang pendirian rasmi berhubung usul berkenaan bagi memastikan setiap perwakilan bebas membuat keputusan sendiri.
"Kita memang membahaskan perkara ini dalam CEC, tetapi CEC tidak mahu mengambil apa-apa pendirian rasmi kerana yang penting ialah perwakilan membuat keputusan.
"Mereka akan mengundi menggunakan undi sulit, bukannya mengangkat tangan. Jadi, mereka mempunyai kebebasan mutlak untuk menentukan pendirian masing-masing," tambahya.
Anthony berkata, sebagai parti yang mengamalkan demokrasi dalaman, keputusan mengenai kedudukan DAP dalam kerajaan tidak boleh ditentukan oleh Setiausaha Agung, Pengerusi Kebangsaan atau anggota Kabinet daripada parti itu semata-mata.
"Walaupun saya Setiausaha Agung dan Gobind Singh Deo ialah Pengerusi Kebangsaan, keputusan ini bukan ditentukan oleh kami.
"Perwakilanlah yang akan membuat keputusan itu sebagai keputusan kolektif parti DAP dan kita akan dipandu oleh keputusan yang dibuat pada 16 Ogos nanti," jelasnya.
Mengulas mengenai hubungan DAP dalam Pakatan Harapan (PH), Anthony berkata, usul tersebut hanya tertumpu kepada kedudukan parti dalam Kerajaan Persekutuan dan bukannya kedudukan DAP dalam gabungan itu.
"Jika keputusan dibuat untuk kekal dalam kerajaan, maka kita akan terus berada dalam Pakatan Harapan. Buat masa ini, soal kedudukan kita dalam PH tidak timbul kerana usul ini hanya memfokuskan kepada peranan DAP dalam kerajaan," kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

