Tiada perjanjian BN-PH di peringkat negeri – Ahmad Maslan

Ahmad bercakap kepada media selepas mengadakan Lawatan ke Tapak Projek Pembinaan Bangunan Prasekolah di Sekolah Kebangsaan Seri Samudera, pada Isnin. Foto Bernama
Ahmad bercakap kepada media selepas mengadakan Lawatan ke Tapak Projek Pembinaan Bangunan Prasekolah di Sekolah Kebangsaan Seri Samudera, pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

LUMUT – Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengikat sebarang perjanjian rasmi dengan Pakatan Harapan (PH) di peringkat kerajaan negeri, kata Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Menurut beliau, situasi itu membuka ruang kepada pelaksanaan strategi kerjasama politik yang lebih fleksibel berdasarkan keadaan semasa di setiap negeri.

“Kita tidak pernah menandatangani perjanjian di peringkat negeri.

“Di Johor, kita bergerak solo. Di Negeri Sembilan juga tiada perjanjian dengan Kerajaan Perpaduan, sebab itu kita bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

“Saya juga dimaklumkan bahawa di Sarawak dan Melaka, tiada perjanjian bersama PH,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja rasmi ke tapak projek pembinaan bangunan prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Samudera di Manjung di sini pada Isnin.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya menegaskan, perjanjian yang dimeterai antara BN dan PH hanyalah di peringkat nasional.

Dalam hal itu katanya, BN kekal komited bersama Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan sehingga tamat penggal pentadbiran.

“Kita telah menandatangani perjanjian di peringkat Persekutuan hingga akhir penggal dan tidak bercadang untuk melanggarnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, beliau menyokong cadangan Pengerusi BN agar formula kerjasama antara BN dan PN digunakan di Melaka yang bakal menghadapi pilihan raya negeri dalam tempoh terdekat.

Jelasnya, pendekatan tersebut berpotensi memberi kelebihan kepada BN sekiranya berlaku pertandingan dua penjuru.

“Saya menyokong pandangan Pengerusi BN supaya formula yang berjaya di Negeri Sembilan digunakan di Melaka.

“Jika berlaku pertandingan tiga penjuru, ia sukar untuk BN. Namun jika dua penjuru, ia memberi kelebihan seperti yang berlaku di Johor dan Negeri Sembilan,” katanya.

Pada Sabtu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan keputusan rasmi PRN Negeri Sembilan Ke-16 menyaksikan BN memenangi 18 kerusi, PH memperoleh 11 kerusi manakala PN sebanyak tujuh kerusi.

Kemenangan di Negeri Sembilan disifatkan sebagai satu kebangkitan selepas UMNO dan BN tidak membentuk kerajaan negeri selama dua penggal sebelum ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!