Kerjasama PN-BN di Melaka tidak semestinya ikut Johor, Negeri Sembilan - Abdul Hadi

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) dijangka menilai semula bentuk kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka susulan kejayaan di Johor dan Negeri Sembilan.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kerjasama di dua negeri terdahulu tidak semestinya diulang di Melaka kerana tertakluk kepada perkembangan dan situasi setempat.

Menurutnya, perkara paling utama bukanlah nama rasmi kerjasama antara kedua-dua gabungan, sebaliknya semangat perpaduan serta kerjasama demi kepentingan bersama.

Jelasnya, di Melaka mungkin lain ceritanya kerana BN tidak mempunyai kerusi Parlimen kerana sebahagian besarnya dimenangi PN yang diwakili Pas dan Bersatu, manakala selebihnya dimenangi DAP, PKR dan Amanah.

"Ada pun Dewan Negeri, UMNO yang menang banyak. Namun kita akan berbincang pembahagian kerusi dengan cara lain daripada Negeri Sembilan," katanya memetik laporan Harakahdaily pada Isnin.

Sementara itu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menjelaskan, Pas menyerahkan kepada kepimpinan PN dan BN untuk menentukan pelantikan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan.

Menurutnya, agihan jawatan Exco dibuat berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi oleh setiap parti pada PRN Negeri Sembilan.

"Kita tidak berkelahi, tak berbalah lagi dalam pelantikan Exco. Negeri Sembilan kita (Pas) dah tentu Menteri Besarnya ialah BN kerana mereka mendominasi negeri itu," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!