Kes pembakaran terbuka di Terengganu membimbangkan - Bomba

KUALA TERENGGANU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu mengeluarkan amaran kepada orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelakkan kemusnahan harta benda serta pencemaran alam sekitar yang lebih serius.
Pengarah JBPM Terengganu, Nor Mahathir Muhamad berkata, sebanyak 1,420 kes kebakaran terbuka telah direkodkan di seluruh negeri bagi tempoh 1 Januari hingga Sabtu.
Menurutnya, statistik tersebut menunjukkan trend peningkatan yang membimbangkan dan memerlukan tindakan pencegahan segera daripada semua pihak.
"Daripada jumlah keseluruhan tersebut, sebanyak 1,121 kes melibatkan kebakaran belukar dan lalang, diikuti hutan (139 kes), kebun (16 kes) dan lain-lain kebakaran terbuka sebanyak 144 kes.
"Statistik ini menggambarkan risiko kebakaran yang tinggi bagi mengelak kejadian menjadi lebih serius dan tidak terkawal," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Mengulas mengenai taburan kes mengikut daerah, beliau mendedahkan Kuala Nerus kekal mencatatkan bilangan tertinggi dengan 252 kes, diikuti Kemaman (236 kes), Dungun (205 kes) dan Marang (204 kes).
Turut mencatatkan kes adalah daerah Besut (179 kes), Kuala Terengganu (168 kes), Setiu (144 kes) dan Hulu Terengganu (32 kes).
Nor Mahathir menegaskan, pihaknya kini mengambil pelbagai inisiatif termasuk bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) untuk membuat hebahan larangan di semua masjid dan surau seluruh negeri.
Katanya, orang ramai diingatkan bahawa aktiviti pembakaran terbuka merupakan satu kesalahan undang-undang yang serius.
"Individu yang melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling.
"Jika sabit kesalahan, pelaku boleh didenda sehingga RM500,000, penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

