Bapa jual bayi demi beli motosikal, telefon baharu

JAKARTA – Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan dilaporkan dijual oleh bapa kandungnya kepada pihak lain dengan bayaran 20 juta rupiah (kira-kira RM4,530).
Lebih menyedihkan, wang berkenaan didakwa digunakan oleh bapa bayi itu, dikenali sebagai TH, untuk membeli sebuah motosikal dan telefon bimbit baharu.
Kejadian berlaku di Desa Malapari, Kecamatan Muara Bulian, Batang Hari, Jambi, Indonesia pada 7 Julai lalu apabila TH didakwa menyerahkan anaknya kepada seorang wanita yang mempunyai kaitan dengan masyarakat adat di kawasan Bukit Duabelas, Jambi.
Ibu bayi, PS, 27, berkata, dia tidak menyedari tindakan suaminya kerana sebelum ini lelaki itu sering membawa anak mereka dan akan memulangkannya selepas beberapa hari.
Menurutnya, dia mula berasa curiga apabila bayinya tidak dikembalikan selepas lebih 10 hari, selain dimaklumkan bahawa anaknya telah diserahkan kepada pihak lain.
“Selepas saya siasat, saya mendapat tahu anak saya dijual oleh suami. Pada masa sama, saya melihat dia membeli telefon bimbit dan motosikal baharu,” katanya.
PS kemudian membuat laporan polis pada 17 Julai lalu selepas mengetahui bayinya dipercayai diserahkan kepada seorang wanita yang belum mempunyai anak.
Menurut laporan, wanita berkenaan mempunyai kaitan dengan masyarakat adat Orang Rimba dan bayi itu didakwa diberikan kepadanya kerana dia tidak mempunyai zuriat.
Bagaimanapun, TH menafikan menjual anaknya dan mendakwa wang 20 juta rupiah yang diterimanya hanyalah pinjaman, manakala bayi itu sekadar diberikan seketika kepada pihak lain.
Selepas laporan dibuat, polis berusaha mendapatkan semula bayi berkenaan yang ketika itu berada di kawasan Bukit Duabelas.
Bayi tersebut kemudian ditempatkan sementara di Rumah Perlindungan Unit Pelaksana Teknikal Daerah Perlindungan Perempuan dan Kanak-Kanak (UPTD PPA) Batang Hari.
Namun, pada 24 Julai lalu, sekumpulan individu dipercayai daripada masyarakat adat terbabit memasuki pusat perlindungan itu sebelum membawa keluar bayi berkenaan.
Polis kemudian menjalankan rundingan dengan pemimpin komuniti berkenaan bagi memastikan bayi itu diserahkan semula kepada ibu kandungnya.
Kembali ke pangkuan ibu selepas 22 hari
Selepas proses rundingan, bayi berkenaan akhirnya diserahkan kepada PS dalam satu majlis di Ibu Pejabat Polis Jambi pada 29 Julai lalu.
Ketua Polis Jambi, Inspektor Jeneral Krisno Siregar berkata, pihaknya mengutamakan rundingan selain tindakan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan bayi terbabit.
Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan termasuk mengumpul bukti berkaitan dakwaan transaksi 20 juta rupiah.
“Polis perlu mengutamakan rundingan selain penguatkuasaan undang-undang. Perkara paling penting ialah mangsa berjaya diselamatkan,” katanya.
TH kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut kesalahan disyaki pemerdagangan orang, manakala polis masih menyiasat penglibatan semua pihak yang berkaitan dalam kes berkenaan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

