Kampung 'hilang' sejak 2023 muncul semula

LEBAK - Sebuah perkampungan yang telah tenggelam kembali kelihatan apabila paras air Empangan Karian di Kabupaten Lebak, provinsi Banten menyusut.
Desa itu muncul semula selepas beberapa tahun ditenggelami air berikutan Indonesia kini memasuki musim kemarau.
Walaupun kebanyakan bumbung rumah telah musnah, sisa dinding struktur masih jelas kelihatan di permukaan.
“Lokasinya berada di hujung kawasan takungan air di Desa Sukarame dan Desa Sukajaya, Kecamatan Sajira. Kawasan ini terletak di bahagian hulu dan sebelum ini merupakan penempatan penduduk yang padat,” kata Ketua Bahagian Pentadbiran dan Tata Usaha BBWS Cidanau Ciujung Cidurian (C3), Maretha Ayu Kusumawati.
Menurutnya, kesemua struktur di kawasan itu tidak dirobohkan sebelum ditenggelamkan. Pasukan pembinaan hanya membersihkan tanaman di kawasan empangan.
"Paras air empangan kini menyusut kira-kira lima peratus hingga menampakkan binaan asal yang tenggelam sejak 2023," ujarnya.
Beliau menjelaskan sebelum ini, hanya sebahagian kecil bangunan di bekas Desa Sukarame dan Desa Sukajaya yang dapat dilihat.
"Kini, lebih banyak struktur rumah muncul dengan jelas. Paras air empangan masih berada pada tahap selamat dan mencukupi untuk memenuhi keperluan pengairan di kawasan sekitar," tambahnya lagi.
Kemunculan semula desa itu turut membangkitkan nostalgia dalam kalangan bekas penduduk yang pernah tinggal di kawasan tersebut. Salah seorang daripada mereka ialah Odon yang mendiami Kampung Bolang, terletak di tengah-tengah empangan berkenaan.
Dia turut melawat kawasan itu kira-kira dua minggu lalu ketika paras air mula surut.
"Saya hanya mahu mengimbau semula kenangan di tempat kelahiran saya. Penduduk biasanya menaiki rakit bagi menjejaki semula lokasi rumah yang pernah mereka diami suatu ketika dahulu," katanya yang kini menetap tidak jauh dari kampung asalnya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

