X

Kindly register in order to view this article
!

IPK, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan terima al-Quran

Hashim Anang menyerahkan sumbangan wakaf al-Quran kepada Mohammad hari ini.
A
A

SEREMBAN - Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) mengagihkan 1,400 naskhah al-Quran kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan hari ini hasil sumbangan pelbagai pihak sempena sempena Program Wakaf al-Quran Mu'jam.

Majlis penyerahan 700 naskhah al-Quran kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan disempurnakan oleh Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang kepada Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Muhammad Faid Abd Rashid di pejabatnya hari ini.

Selebihnya pula diserahkan kepada Ketua Polis Negeri, Datuk Mohammad Mat Yusop di IPK Negeri Sembilan.

Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan telah menerima 600 naskhah al-Quran dan pada hari ini adalah pemberian bagi kali kedua.

Hashim Anang menyerahkan sumbangan wakaf al-Quran kepada Muhammad Faid di Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan hari ini.
Hashim Anang menyerahkan sumbangan wakaf al-Quran kepada Muhammad Faid di Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan hari ini.

Dr Muhammad Faid ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada WUIF dan Kumpulan Karangkraf di atas sumbangan yang bermakna ini.

"Pemberian al-Quran ini diharap dapat meningkatkan lagi ketahanan dan kekuatan rohani barisan hadapan negara untuk terus berjuang menghadapi wabak koronavirus (Covid-19)," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, sumbangan yang diterima itu kebanyakannya daripada rakyat Malaysia menerusi hebahan pelbagai platform rakan senergi yang menggerakkan solidariti itu termasuklah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), TV AlHijrah, Sinar Harian, Ideaktiv dan Rumah Ngaji di seluruh negara.

Selain itu, WUIF turut menganjurkan slot Quran Time dan slot My Family #QuranHour 'Masuk Syurga Sekeluarga' secara langsung di QuranHour Channel melalui Facebook QuranHour setiap hari.

QuranTime yang membincangkan Juzuk Amma bermula jam 8 pagi hingga 8.30 pagi akan disampaikan oleh Fazrul dan Pengurus Latihan dan Pembangunan Akademi Sinergi Ikhlas, Mohd Harfiz Hamzah.

Orang ramai yang ingin menyumbang sebagai pewakaf al-Quran, boleh mendaftar di bit.ly/wakafquranhospital dan membuat bayaran wakaf kepada Warisan Ummah Foundation melalui nombor akuan Maybank Islamik 564276516031 atas nama dengan rujukan Wakaf Quran sebanyak RM45 senaskhah.

Sewaktu pembayaran dilakukan, turut disarankan untuk meniatkan wakaf tersebut atas nama penyumbang.

Slip pembayaran boleh dihantar ke http://www.wasap.my/60193803635/WakafQuran.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus