Pembinaan NPE2 capai 9 peratus, jimat 15 minit ke KL

SUBANG JAYA - Projek Lebuhraya Pantai Baru 2 (NPE2) kini merekodkan kemajuan pembinaan fizikal lebih sembilan peratus mengikut jadual dan menawarkan penjimatan masa perjalanan sekurang-kurangnya 15 minit bagi laluan terus dari Pantai Dalam ke pusat bandar Kuala Lumpur apabila siap kelak.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Datuk Lee Chun Fai berkata, kerja pembinaan di sepanjang jajaran lebuh raya berkenaan telah dimulakan serentak dengan proses pengambilan tanah yang kini sedang berjalan.
"Setakat ini kita telah memulakan pembinaannya mengikut jadual pada kadar lebih kurang sembilan peratus lebih.
"Dengan siapnya NPE2 nanti, laluan terus ke Kuala Lumpur akan dikurangkan sekurang-kurangnya 15 minit daripada Pantai Dalam ke KL," katanya ketika ditemui media selepas majlis pelepasan peserta larian IJM Allianz Duo Highway Challenge 2026 di Sunway Pyramid, hari ini.

Terdahulu, lebih 15,000 pelari dari dalam negara dan 22 buah negara luar menyertai IJM Allianz Duo Highway Challenge 2026 yang kembali menganjurkan edisi ke-8 di Lebuhraya Baru Pantai (NPE) dan Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA).
Acara berkenaan dianjurkan bersama oleh IJM Corporation Berhad dan Allianz Malaysia Berhad, dengan New Pantai Expressway Sdn Bhd (NPE) dan BESRAYA (M) Sdn Bhd yang juga anak syarikat IJM Corporation Berhad bertindak sebagai penganjur acara.
Sementara majlis pelepasan peserta pula disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Sean Wang dan Pengarah Urusan EC Pixels Asia, Eugene Chan.
Mengulas mengenai fasa pembinaan,Chun Fai mengakui wujud cabaran liputan bahu jalan yang sempit di kawasan berdekatan yang berpotensi menimbulkan sedikit kesukaran lalu lintas sewaktu aktiviti puncak.
Walau bagaimanapun, pihak syarikat komited untuk mengambil pelbagai langkah kawalan bagi meminimumkan gangguan kepada orang ramai demi manfaat jangka panjang pengguna.
"Jalan itu memang sempit dan tidak banyak bahu jalan, jadi pada masa pembinaan puncak mungkin ada sedikit kesukaran. Namun, kita akan cuba sedaya upaya mengurangkan kesukaran kepada pengguna kerana semua ini adalah untuk kebaikan masa depan," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

