Trump batal serang Iran demi manfaat dunia

ISTANBUL – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Ahad mendakwa beliau membatalkan rancangan melancarkan serangan ketenteraan ke atas Iran bagi memberi ruang kepada Teheran dan beberapa negara di Asia Barat memuktamadkan rangka kerja perjanjian damai.
Menurut Trump menerusi hantaran di platform media sosial miliknya, Truth Social, semua pihak telah mencapai persetujuan awal mengenai parameter perjanjian yang antara lain merangkumi pembukaan semula Selat Hormuz secara serta-merta dan sepenuhnya, selain menamatkan ancaman program nuklear Iran.
Beliau berkata, keputusan membatalkan serangan itu dibuat demi manfaat dunia serta masa depan Iran yang aman dan makmur.
"Saya bersetuju membatalkan serangan itu demi manfaat dunia dan kelangsungan sebuah Iran yang berjaya serta makmur, dengan syarat semua pihak dapat segera memeterai perjanjian," katanya.
Bagaimanapun, Trump menegaskan tentera AS kekal bersiap siaga sekiranya rundingan gagal mencapai kata sepakat.
"Amerika Syarikat berada pada tahap kesiapsiagaan penuh untuk bertindak terhadap Republik Islam Iran dengan kekuatan ketenteraan yang tidak pernah disaksikan sejak Perang Dunia Kedua," katanya.
Trump turut mendakwa Israel bersetuju menangguhkan sebarang tindakan ketenteraan sepanjang proses rundingan berlangsung.
"Semua pihak perlu segera menyelesaikan perjanjian ini," katanya.
Setakat ini, Iran dan Israel belum mengeluarkan kenyataan rasmi bagi mengesahkan dakwaan Trump mengenai persetujuan tersebut.-Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

