Glasgow 2026 angkat darjat badang negara

SUKAN Komanwel Glasgow 2026 mungkin tidak mengubah keseluruhan landskap sukan Malaysia, tetapi cukup untuk mengubah persepsi terhadap sukan angkat berat negara.
Selama ini, angkat berat dikenali sebagai sukan yang mampu menyumbang pingat, namun jarang diletakkan sebaris dengan sukan yang menjadi sandaran utama kontinjen negara.
Tumpuan lebih banyak diberikan kepada acara berprofil tinggi, sedangkan sukan angkat berat terus berusaha tanpa banyak sorotan.
Kini, Glasgow 2026 mengubah gambaran itu apabila kem angkat berat muncul sebagai antara penyumbang utama pingat Malaysia.
Kejayaan itu juga bukan hadir secara kebetulan apabila sebelum temasya bermula, Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) meletakkan sasaran tiga pingat emas.
Sasaran tersebut bukan sahaja berjaya dicapai, malah disokong beberapa lagi keputusan memberangsangkan yang memperlihatkan daya saing atlet negara.
Mohamad Aniq Kasdan memulakan rentak cemerlang menerusi pingat emas kategori 60 kilogram (kg) lelaki sambil mencipta rekod temasya.
Muhamad Aznil Bidin pula mempertahankan penguasaannya apabila meraih pingat emas ketiga berturut-turut dalam kategori 65 kg di Sukan Komanwel.
Muhammad Erry Hidayat (73 kg), Muhammad Hafizuddin Roslin (88 kg) dan Muhammad Syahmi Nor Ghazali (94 kg) turut menyumbang pencapaian penting, manakala Siti Aqilah Farhana Draman menghadiahkan pingat perak sebelum Irene Jane Henry melengkapkan kempen dengan pingat gangsa pada penampilan sulungnya.
Bagaimanapun, nilai terbesar Glasgow 2026 bukan hanya terletak pada jumlah pingat, sebaliknya kejayaan ini memberi petunjuk bahawa sukan angkat berat negara semakin mempunyai kedalaman atlet.
Dalam sukan berprestasi tinggi, seorang atlet mampu menghadiahkan kejayaan, tetapi kehadiran beberapa atlet yang berupaya bersaing dalam kategori berbeza mencerminkan kekuatan sistem pembangunan.
Perkembangan itu penting kerana kejayaan tidak lagi bergantung kepada seorang atau dua nama semata-mata. Sebaliknya, kejayaan lahir daripada persediaan pasukan yang lebih menyeluruh dan berstruktur.
Jika dibandingkan dengan beberapa edisi terdahulu seperti Gold Coast 2018 dan Birmingham 2022, pencapaian di Glasgow 2026 memberi isyarat bahawa usaha pembangunan atlet serta perancangan prestasi tinggi mula memperlihatkan hasil yang positif.
Namun, Glasgow 2026 bukan penamat kerana cabaran yang lebih besar menanti di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dan Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Di pentas itu, Malaysia bakal berdepan negara yang mempunyai tradisi panjang serta kelompok atlet yang lebih besar seperti China, Korea Utara, Kazakhstan, Uzbekistan dan Iran.
Atas sebab itu, kejayaan di Glasgow 2026 perlu dilihat sebagai asas untuk membina kesinambungan, bukannya ukuran bahawa angkat berat negara sudah mencapai kemuncaknya.
Momentum yang terhasil perlu diteruskan agar prestasi di pentas Komanwel dapat diterjemahkan kepada kejayaan di peringkat Asia dan dunia.
Glasgow 2026 akhirnya membawa satu mesej yang jelas. Apabila perancangan, pembangunan atlet dan prestasi bertemu pada titik yang sama, angkat berat mampu muncul sebagai antara kekuatan utama kontinjen Malaysia.
Kini, cabaran sebenar bukan lagi membuktikan angkat berat mampu menyumbang pingat, tetapi memastikan kejayaan itu dapat dikekalkan secara konsisten.
*Zuraimee Zainal ialah penyunting Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
