Deria sentuhan jadi 'mata' pemanjat kelapa buta

Kamarul Zaman dan isteri menunjukkan peria crispy diusahakan isterinya.
Kamarul Zaman dan isteri menunjukkan peria crispy diusahakan isterinya.
A
A
A

ALOR GAJAH – Dalam keadaan mata langsung tidak lagi mampu melihat, hanya memeluk batang pokok kelapa sebelum perlahan-lahan memanjat hingga ke pucuk.

Itu perkongsian seorang orang kurang upaya (OKU) penglihatan, Kamarul Zaman Abd Latif, 64, berkongsi kepayahan masa lalunya demi membesarkan dua anaknya yang masih kecil.

Bagi Kamarul, kehilangan penglihatan akibat penyakit Retinitis Pigmentosa pada usia 24 tahun bukan penamat kehidupan, sebaliknya menjadi titik permulaan untuk bekerja lebih keras menyara keluarga demi membesarkan dua anak.

"Kami suami isteri juga pernah menjual nasi lemak dan berniaga buah-buahan mengikut musim.

"Saya turut menggunakan kemahiran mengurut kaki untuk menambah pendapatan keluarga.

"Pernah satu ketika kami tidak cukup wang untuk perbelanjaan persekolahan anak-anak. Jadi saya mengambil upah memanjat pokok kelapa," katanya.

---

Kamarul Zaman
Kamarul Zaman

Pekerja kedai makan dari Kampung Perling, Lendu itu berkata, pengalaman memanjat pokok bukan dipelajari secara formal, sebaliknya bermula daripada kenakalan zaman kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, masa kecil semua jenis pokok dia panjat dan dia tidak menyangka apabila sudah besar, pengalaman itu pula jadi punca rezeki.

"Saya peluk batang pokok dan panjat macam biasa sampai ke atas. Tak guna alat apa-apa. Pengalaman masa masih nampak dulu itulah yang saya gunakan," katanya.

Lebih mengagumkan, dia mampu mengenal pasti kelapa yang matang hanya melalui deria sentuhan dan bunyi.

"Kalau ada orang di bawah, mereka beritahu tandan mana yang dah tua. Kalau tak ada pun saya boleh tahu.

“Saya raba pelepah, kalau dah kering biasanya kelapa itu dah tua. Bila ketuk buah, ada beza bunyi kelapa muda dengan tua.

"Setiap pokok mengambil masa sekitar 10 hingga 15 minit untuk dipanjat. Syukur, sepanjang mengambil upah memanjat pokok kelapa, saya tidak pernah ditimpa kemalangan atau disengat haiwan berbisa," katanya.

Kamarul Zaman dan isteri menunjukkan kad OKU dimiliki mereka.
Kamarul Zaman dan isteri menunjukkan kad OKU dimiliki mereka.

Kisah memanjat pokok kelapa dalam keadaan tidak mampu melihat itu tidak pernah diceritakan kepada isterinya kerana tidak mahu wanita berkenaan bimbang.

Mengimbau detik kehilangan penglihatannya, Kamarul berkata, dia pada mulanya mengalami masalah penglihatan apabila sukar melihat pada waktu malam sebelum keadaan itu semakin teruk ketika bekerja di sebuah kilang kicap.

"Saya mula tidak nampak pada waktu malam dan selepas menjalani pemeriksaan, doktor sahkan saya hilang deria penglihatan.

"Apabila majikan mengetahui keadaan saya, mereka mengambil keputusan memberhentikan saya kerana tidak mahu mengambil risiko," katanya.

Selepas itu, beliau mengikuti latihan kemahiran di Pusat Latihan Gurney, pusat vokasional dan pemulihan di bawah Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia untuk orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

Di situlah dia bertemu jodoh dengan isterinya, Siti Fatimah Abd Hamid, 62, yang berasal dari Kuala Nerang, Kedah, yang juga merupakan OKU penglihatan.

Berkongsi kisah hidupnya, Kamarul berkata, selepas mendirikan rumah tangga mereka menetap di Klang, Selangor sebelum mengambil keputusan pulang ke kampung pada 1999.

Kamarul Zaman dan isteri ditemui di rumahnya.
Kamarul Zaman dan isteri ditemui di rumahnya.

Katanya, dia tidak pernah memilih pekerjaan selagi mampu dilakukan dan mendatangkan rezeki yang halal.

"Kami merupakan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui Elaun Pekerja Cacat sebanyak RM450 sebulan, tetapi jumlah itu tidak mencukupi dan kami tetap perlu bekerja.

"Walaupun anak-anak sudah berkeluarga dan bekerja, kami tidak mahu bergantung kepada mereka kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa.

"Kami sudah biasa berdikari. Isteri saya yang tergolong dalam kategori B2 (separa penglihatan) turut menjual peria rangup sejak 2020 bagi menambah pendapatan," katanya.

Selain gigih mencari rezeki, Kamarul juga pernah mengharumkan nama negara apabila memenangi pingat gangsa acara boling padang pada Sukan Asia Pasifik Kuala Lumpur 2006.

Beliau turut beberapa kali mewakili negeri Melaka dalam kejohanan boling padang para dari 2004 hingga 2016.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai segelintir golongan OKU penglihatan yang memilih mengutip sedekah sebagai sumber pendapatan, beliau berkata, setiap individu mempunyai pilihan masing-masing.

"Itu hak masing-masing. Mungkin mereka selesa mencari rezeki dengan cara tersebut, ada yang menjual tisu dan ada juga yang membuat persembahan jalanan.

"Bagi saya, selagi mampu bekerja, saya akan terus bekerja. Saya mahu buktikan kekurangan bukan penghalang untuk mencari rezeki yang halal lagi diredai ALLAH," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!